Najib gagal rayuan hidup semula saman RM1.9 juta terhadap Thomas

Najib gagal rayuan hidup semula saman RM1.9 juta terhadap Thomas

Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2022 yang menolak saman itu.

Najib Razak dan Tommy Thomas
Najib Razak gagal menghidupkan semula saman terhadap Tommy Thomas atas dakwaan salah laku dalam jawatan awam, salah guna proses serta kecuaian dalam pelaksanaan budi bicara pendakwaan.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan menolak rayuan bekas perdana menteri, Najib Razak untuk menghidupkan semula saman RM1.9 juta terhadap bekas peguam negara, Tommy Thomas.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim P Ravinthran, Wong Kian Kheong dan Nadzarin Wok Nordin mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 25 Nov 2022 yang menolak saman itu.

Najib menyaman Thomas atas dakwaan salah laku dalam jawatan awam, penyalahgunaan proses serta kecuaian melaksanakan budi bicara pendakwaan bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, berkaitan pertuduhan 1MDB dan International Petroleum Investment Company (IPIC).

Ravinthran berkata, panel bersetuju dengan Mahkamah Tinggi bahawa kes jenayah belum bermula ketika saman sivil difailkan, tindakan bagi salah laku, penyalahgunaan proses dan kecuaian jelas terlalu awal.

“Kami juga mendapati tort penyalahgunaan proses tidak wujud dalam undang-undang kita.”

Tetapi, mahkamah tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Thomas mempunyai imuniti dan tindakannya tidak boleh dipersoalkan.

“Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan tidak memberikan imuniti kepada peguam negara berhubung saman sivil diambil terhadapnya secara peribadi. Kes yang dirujuk Mahkamah Tinggi tidak terpakai kerana ia melibatkan kes jenayah di mana budi bicara peguam negara telah dicabar.”

Mahkamah turut memerintahkan Najib membayar kos RM12,000 kepada Thomas.

Najib diwakili Firoz Hussein dan Yudistra Darma Dorai, manakala Alan Adrian Gomez mewakili Thomas.

Dalam saman difailkan pada 2020, Najib menuntut deklarasi bahawa Thomas melakukan tort salah laku dalam jawatan awam, selain menuntut RM1.9 juta sebagai ganti rugi khas yang dikatakan kos untuk melantik pasukan audit bagi menyemak dokumen dan menyediakan pembelaannya dalam prosiding jenayah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.