
Memberi keterangan dalam saman sivil yang difailkan oleh SRC International dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd, Najib menolak cubaan plaintif untuk membentuk apa yang disifatkannya sebagai ‘rantaian arahan’ melalui individu seperti Nik Faisal.
“Saya tidak menggunakan Nik Faisal atau mana-mana individu sebagai perantara untuk mengarah atau menentukan keputusan BOD SRC atau merancang kemasukan RM42 juta ke dalam akaun saya,” katanya.
Najib berkata demikian ketika disoal peguamnya, Farhan Shafee.
Beliau berkata jika mana-mana pegawai SRC menyatakan ‘ini arahan Perdana Menteri’, perkara itu tidak pernah diberi kebenaran oleh beliau dan adalah bercanggah dengan tadbir urus korporat yang betul.
Najib turut beritahu bahawa beliau tidak pernah menjadi pengarah SRC, tidak pernah hadir mesyuarat lembaga pengarah, dan tidak mengurus operasi syarikat itu. Beliau berkata di bawah perlembagaan SRC dan Akta Syarikat, pengurusan syarikat terletak pada lembaga pengarah dan pegawai-pegawainya.
“Sebarang kelulusan atau persetujuan yang berkaitan dengan jawatan awam saya dibuat selepas proses lembaga pengarah.
“Saya tidak memegang jawatan sebagai pengarah, sama ada secara sah atau de facto atau bertindak sebagai ‘pengarah bayangan’,” katanya.
Saya tidak pilih Nik Faisal sebagai CEO
Najib juga menafikan meluluskan pelantikan Nik Faisal dan Vincent Koh Beng Huat sebagai pengarah awal SRC, dengan berkata beliau tidak dimaklumkan mengenai pelantikan tersebut dan perkara operasi sedemikian tidak memerlukan kelulusannya.
Bagaimanapun, Najib mengakui mengeluarkan sepucuk surat bertarikh 1 Ogos 2011 berhubung cadangan pengarah SRC.
Beliau memberitahu mahkamah bahawa sebelum Ogos 2011, satu senarai calon pengarah telah dikemukakan kepadanya oleh ketua pegawai eksekutif 1MDB ketika itu, Shahrol Halmi.
Senarai tersebut merangkumi nama-nama yang dinyatakan dalam surat itu, dengan Ismee Ismail sebagai pengerusi serta Nik Faisal sebagai calon CEO dan pengarah urusan.
Najib berkata beliau dimaklumkan bahawa individu-individu berkenaan dipilih oleh 1MDB, syarikat pegangan SRC, dan oleh itu beliau tidak melihat sebarang sebab untuk tidak bersetuju dengan pencalonan tersebut.
“Kelulusan saya adalah berdasarkan bahawa lembaga 1MDB telah memilih individu-individu ini,” katanya.
SRC International dan Gandingan Mentari menyaman bekas perdana menteri itu bagi mendapatkan semula RM42 juta yang didakwa disalahgunakan daripada akaun syarikat.
Najib dipenjarakan sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC.
Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Susulan petisyen pengampunan diraja yang difailkan pada 2 Sept 2022, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 29 Jan mengurangkan tempoh pemenjaraan Najib kepada enam tahun dan menurunkan denda kepada RM50 juta.
Perbicaraan di hadapan Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan akan bersambung esok.
Peguam Lim Chee Wee mewakili SRC International dan Gandingan Mentari.