Singapura lulus cengkerik, ulat sutera, lebah madu dimakan manusia

Singapura lulus cengkerik, ulat sutera, lebah madu dimakan manusia

Agensi Makanan Singapura meluluskan 16 spesies serangga sebagai makanan manusia atau haiwan.

market crickets
Agensi Makanan Singapura berkata, 16 spesies serangga itu mempunyai sejarah sebagai makanan manusia. (Gambar Envato)
SINGAPURA:
Agensi Makanan Singapura (SFA) meluluskan 16 spesies serangga sebagai makanan manusia, termasuk cengkerik, belalang juta, belalang, “mealworm”, ulat sutera dan lebah madu.

“Dengan serta-merta, SFA akan membenarkan import serangga dan produk serangga berasal daripada spesies telah dinilai mempunyai kebimbangan peraturan rendah.

“Serangga dan produk serangga ini boleh digunakan sebagai makanan manusia atau haiwan untuk haiwan pengeluaran makanan,” kata SFA dalam pekeliling kepada peniaga pada Isnin.

Sementara itu, rangka kerja peraturan serangga yang dimuat naik di laman sesawangnya pada hari sama meletakkan garis panduan untuk serangga diluluskan sebagai makanan di Singapura.

Rangka kerja itu merangkumi garis panduan harus dipatuhi perniagaan jika mereka berhasrat mengimport, menternak atau memproses serangga menjadi makanan manusia atau haiwan.

SFA berkata, serangga dalam senarai itu mempunyai sejarah sebagai makanan manusia. Serangga lain yang tidak tersenarai perlu menjalani penilaian SFA sebelum boleh dijadikan makanan manusia.

Garis panduan ini dibangunkan selepas kajian saintifik menyeluruh dengan merujuk negara dan wilayah yang membenarkan penggunaan serangga tertentu sebagai makanan, termasuk Kesatuan Eropah, Australia, New Zealand, Korea Selatan dan Thailand.

“Pada masa ini, tiada piawaian antarabangsa ditetapkan Suruhanjaya Codex Alimentarius atau Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia untuk penjualan dan penggunaan serangga sebagai makanan atau makanan haiwan.”

Syarikat menjual makanan prabungkus, termasuk mengandungi serangga sebagai ramuan, dikehendaki melabel pembungkusan produk untuk menunjukkan sifat sebenar produk itu.

Sama seperti makanan lain tersedia di pasaran, produk serangga tertakluk kepada pemeriksaan dan pengawasan SFA yang termasuk pensampelan untuk ujian keselamatan makanan.

“Makanan didapati tidak mematuhi peraturan keselamatan makanan SFA tidak akan dibenarkan dijual.”

Kali pertama SFA mengadakan rundingan awam mengenai peraturan dan produk serangga pada 2022.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.