Tiada permit import sah, makanan haiwan lebih RM100,000 dirampas

Tiada permit import sah, makanan haiwan lebih RM100,000 dirampas

Rampasan itu susulan pemeriksaan rutin anggota MAQIS ke atas sebuah lori pada 5.05 petang dan mendapati produk itu dibawa masuk tanpa permit import sah.

Makanan haiwan bernilai RM103,672 yang cuba dibawa masuk dari Thailand dirampas di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Bukit Kayu Hitam Khamis lepas. (Gambar MAQIS)
ALOR SETAR:
Kira-kira 10.9 tan makanan haiwan bernilai RM103,672 yang cuba dibawa masuk dari Thailand dirampas di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, dekat sini, Khamis lepas kerana dipercayai menyalahi syarat import.

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (MAQIS) Kedah memaklumkan rampasan itu susulan pemeriksaan rutin anggotanya ke atas sebuah lori pada 5.05 petang dan mendapati produk itu dibawa masuk tanpa permit import sah.

“Makanan haiwan itu dipercayai dibawa masuk untuk pasaran tempatan. Produk itu ditahan untuk siasatan kerana gagal memaparkan nombor kumpulan atau nombor lot serta tarikh pembuatan pada produk dagangan, yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728],” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya di bawah Seksyen 15(2) akta sama.

Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] diguna pakai bagi kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan serta mencegah kemasukan penyakit berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.