
Pengerusi Suruhanjaya III, Bambang Wuryanto dalam sesi di kompleks Parlimen di sini pada Rabu berkata, Majlis Etika mungkin mengambil tindakan disiplin terhadap individu terbabit.
“Selepas menamatkan siasatan, dapatan itu akan diserahkan kepada Suruhanjaya III. Majlis Etika mempunyai kuasa untuk memanggil individu dinamakan dalam laporan itu.”
Menurut Bambang, siasatan itu didorong laporan daripada Pusat Laporan dan Analisis Transaksi Kewangan (PPATK) yang menekankan keperluan untuk ketelusan dan akauntabiliti dalam barisan kerajaan.
Ketua PPATK, Ivan Yustiavandana berkata, pusat itu bersedia memberikan data terperinci kepada penggubal undang-undang, khasnya Majlis Etika mengenai transaksi 25 bilion rupiah atau kira-kira USD1.74 juta.
Beliau juga mendedahkan semasa mesyuarat bahawa transaksi kewangan dikaitkan dengan perjudian dalam talian di republik itu mencecah 101 trilion rupiah atau USD7.04 bilion pada suku pertama 2024.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya III, Habiburokhman menekankan implikasi sosial dan undang-undang menyebut kemungkinan tuduhan jenayah di bawah undang-undang Indonesia bagi individu terbabit perjudian dalam talian.
Menurutnya, DPR sedang mempertimbangkan langkah pencegahan dan hukuman untuk menangani isu itu sambil mengakui peranan kritikal PPATK dalam perisikan kewangan.
Kerajaan Indonesia sedang mempergiatkan usaha menangani isu perjudian dalam talian yang semakin membimbangkan dengan melantik Menteri Penyelaras bagi Hal Ehwal Politik, Undang-undang dan Keselamatan, Hadi Tjahjanto mengetuai pasukan petugas yang menangani masalah itu.
Judi dilarang sama sekali di bawah Undang-undang Maklumat dan Transaksi Elektronik di Indonesia.
Pengedar atau fasilitator judi dalam talian boleh dipenjara sehingga enam tahun dan didenda satu bilion rupiah atau kira-kira USD69,000.
Individu ditahan menyertai aktiviti itu boleh dipenjara maksimum empat tahun atau didenda sehingga 10 juta rupiah, kira-kira USD690, di bawah Kanun Keseksaan.