Gara-gara kucing, dewan perbandaran Belanda rugi RM1.66 juta

Gara-gara kucing, dewan perbandaran Belanda rugi RM1.66 juta

Haiwan itu dipercayai dengan tidak sengaja membuka paip, menyebabkan dewan perbandaran Dokkum digenangi air.

Seekor kucing ditemukan di dewan perbandaran berkenaan ketika kerja-kerja pembinaan berjalan pada Mei tahun lepas, namun tidak berjaya ditangkap. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Gara-gara seorang kucing yang tidak berjaya ditangkap, dewan perbandaran Dokkum di Belanda digenangi air, menyebabkan kerosakan hampir €325,000 (kira-kira RM1.66 juta), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Kucing itu ditemukan di dewan perbandaran berkenaan ketika kerja-kerja pembinaan berjalan pada Mei tahun lepas, lapor Bernama, memetik stesen penyiaran Omrop Fryslân pada Jumaat.

Bangunan di wilayah Frisia itu dikunci sementara apabila kucing itu tidak berjaya ditangkap.

Kucing yang terperangkap itu dipercayai dengan tidak sengaja membuka paip, menyebabkan air melimpah membasahi perabot dan dinding serta melalui lantai memasuki bilik bawah tanah.

Disebabkan kerosakan yang begitu teruk, beberapa kakitangan dewan perbandaran itu terpaksa bekerja di bangunan lain buat sementara, dan beberapa dinding dan lantai perlu diganti.

Pada mesyuarat majlis perbandaran pada Khamis, ahli majlis Bert Koonstra membentangkan bil terakhir berjumlah hampir €325,000, yang akan dibayar oleh insurans.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.