Wanita Belanda maut ketika teroka gua di Taman Negara

Wanita Belanda maut ketika teroka gua di Taman Negara

Mangsa dilapor tidak sedarkan diri selepas enam jam memulakan aktiviti bersama 16 individu lain dari pelbagai negara.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (HTAA) untuk proses bedah siasat. (Gambar JBPM)
KUANTAN:
Seorang wanita warga Belanda maut ketika menyertai aktiviti meneroka secara berkumpulan di Gua Kepayang, Trail Keniam-Terenggan, Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut, semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Razam Taja Rahim, berkata mangsa, Pommelien Catharina Maria Meijs, 33, dilaporkan tidak sedarkan diri selepas enam jam memulakan aktiviti tersebut bersama 16 individu lain dari pelbagai negara termasuk pemandu pelancong.

Beliau berkata, pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Tahan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Tahan dan polis bergegas ke lokasi kejadian sebaik mendapat panggilan kecemasan kira-kira 7 pagi.

“Pasukan SAR mengambil masa tiga hingga ke empat jam untuk sampai ke lokasi. Bagaimanapun, operasi membawa mangsa keluar tidak dapat dapat diteruskan kerana trek berlumpur, licin dan cuaca tidak mengizinkan selain bentuk muka bumi yang berbukit-bukau.

“Operasi SAR terpaksa dihentikan sekitar 6 petang dan disambung hari ini menggunakan helikopter,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pasukan SAR membuat pembersihan kawasan seluas 9.1 meter x 9.1 meter persegi untuk persediaan mengangkat mangsa di lokasi tersebut bagi dibawa ke Padang FA Jerantut.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis Jerantut pada 11.26 pagi dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (HTAA) untuk proses bedah siasat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.