Lawrence Wong angkat sumpah PM ke-4 Singapura

Lawrence Wong angkat sumpah PM ke-4 Singapura

Lawrence Wong mengangkat sumpah kesetiaan dan ikrar pelaksanaan tugas yang disaksikan Presiden dan Ketua Hakim Negara, Sundaresh Menon.

Lawrence Wong menggantikan Lee Hsien Loong yang memegang tampuk pemerintahan negara hampir 20 tahun. (Gambar AFP)
SINGAPURA:
Lawrence Wong mengangkat sumpah sebagai perdana menteri keempat Singapura di Istana malam ini.

Wong, 51, menggantikan Lee Hsien Loong, 72, yang memegang tampuk pemerintahan negara hampir 20 tahun.

Upacara itu disiarkan di televisyen dan penstriman di platform media sosial, bermula dengan nyanyian lagu kebangsaan “Majulah Singapura” diikuti ucapan Presiden, Tharman Shanmugaratnam.

Seterusnya, Wong mengangkat sumpah kesetiaan dan ikrar pelaksanaan tugas yang disaksikan Presiden dan Ketua Hakim Negara, Sundaresh Menon.

Ahli Parlimen GRC, Marsiling-Yew yang mengekalkan portfolio menteri kewangan kemudian menandatangani akuan sumpahnya.

Ia disusuli presiden menyampaikan surat cara pelantikan kepada Wong.

Timbalan Perdana Menteri, Gan Kim Yong (juga menteri perdagangan dan perusahaan) serta Heng Swee Keat, diikuti Menteri Kanan, Lee Hsien Loong dan Teo Chee Hean, yang juga menteri penyelaras untuk keselamatan negara mengangkat sumpah.

Seramai 14 menteri terdiri daripada sembilan menteri negara kanan dan lima menteri negara juga mengangkat sumpah. Seorang lagi Menteri Negara, Murali Pillai akan dilantik dan mengangkat sumpah 1 Julai nanti.

Semua menteri mengangkat sumpah kesetiaan dan ikrar pelaksanaan tugas serta menerima surat cara pelantikan mereka daripada presiden.

Wong mengumumkan barisan Kabinetnya pada Isnin lalu, selepas Lee memaklumkan hasratnya meletak jawatan bersama kerajaannya kepada presiden pada 15 Mei lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.