
Serangan di tempat letak kenderaan dekat pusat kebudayaan di Sevran, yang terletak antara tengah Paris dan lapangan terbang utama bandar itu Charles de Gaulle, berlaku sekitar 11.45 malam Jumaat (waktu tempatan), kata pendakwa raya.
Sebaik tiba di lokasi, polis menemui empat mangsa cedera, dengan seorang daripadanya meninggal dunia tidak lama kemudian dan tiga lagi dibawa ke hospital dalam keadaan serius.
Sumber polis berkata, dua lelaki tiba di tempat letak kenderaan itu menaiki sebuah kereta, dengan seorang daripadanya keluar dan melepaskan tembakan. Mereka kemudian melarikan diri.
Datuk Bandar Sevran, Stephane Blanchet memberitahu AFP: “Ia jelas balas dendam dikaitkan dengan pengedaran dadah.”
Beliau berkata, ketenteraman perlu diwujudkan dengan membasmi kegiatan pengedaran dadah.
Polis memulakan siasatan atas pembunuhan disengajakan oleh geng terancang dan tiada tangkapan dibuat setakat pagi Sabtu.