Wanita Australia gagal saman Qatar Airways atas pemeriksaan bogel

Wanita Australia gagal saman Qatar Airways atas pemeriksaan bogel

Seorang hakim Australia menolak kes itu atas alasan wanita terbabit tidak diperiksa dalam pesawat.

Pihak berkuasa Qatar mengarahkan sekumpulan wanita keluar dari 10 pesawat di Lapangan Terbang Doha pada 2020, sebelum memaksa mereka menjalani pemeriksaan ginekologi invasif. (Gambar Wikimedia Commons)
SYDNEY:
Sekumpulan wanita Australia yang dipaksa menjalani pemeriksaan secara bogel sebelum menaiki pesawat di Lapangan Terbang Doha, gagal menyaman Qatar Airways, demikian keputusan sebuah mahkamah Australia pada Khamis.

Dalam kejadian yang mencetuskan kemarahan antarabangsa itu, pihak berkuasa Qatar mengarahkan sekumpulan wanita keluar dari 10 pesawat di Lapangan Terbang Doha pada 2020, sebelum memaksa mereka menjalani pemeriksaan ginekologi invasif.

Pihak berkuasa berbuat demikian dalam usaha mencari wanita yang melahirkan seorang bayi ditemui terbiar dalam bilik air lapangan terbang dan tidak membenarkan wanita terbabit kembali ke pesawat sehingga keputusan pemeriksaan diperolehi.

Tiga wanita Australia terbabit dalam insiden itu kemudiannya menyaman Qatar Airways atas dakwaan mereka diserang dan ditahan secara salah sepanjang kejadian berkenaan.

Seorang hakim Australia menolak kes itu kerana wanita terbabit tidak diperiksa dalam pesawat, dengan memetik konvensyen antarabangsa berhubung liabiliti syarikat penerbangan.

Hakim Mahkamah Persekutuan, John Halley berkata, wanita terbabit sebaliknya boleh meminda saman mereka untuk menuntut ganti rugi terhadap pengendali Lapangan Terbang Doha.

Kejadian itu mencetuskan kebimbangan berhubung layanan Qatar terhadap wanita menjelang penganjuran Piala Dunia pada 2022 oleh negara Teluk itu.

Kerajaan Australia kemudian menggunakan kejadian itu sebagai alasan untuk menghalang Qatar Airways beroperasi di negara terbabit.

Perdana Menteri Qatar, Khalid Khalifa Abdulaziz Al Thani “memohon maaf atas apa yang dilalui beberapa penumpang wanita itu”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.