
“Kumpulan-kumpulan jenayah terancang ini yang didorong anonimiti dalam talian, diinspirasikan model perniagaan baharu, dan dipercepatkan oleh Covid, kini beroperasi dalam skala yang tidak mungkin tercapai sedekad lalu,” kata Setiausaha Agung Interpol Jurgen Stock dalam taklimat di pejabat badan polis antarabangsa itu di Singapura.
“Apa yang bermula sebagai ancaman jenayah serantau di Asia Tenggara kini menjadi krisis pemerdagangan manusia global, dengan jutaan mangsa bukan saja sebagai sasaran, malah mengoperasikan pusat penipuan siber.”
Pusat penipuan siber baharu itu sering dikendalikan pekerja yang diperdagangkan dengan janji manis mendapat pekerjaan sahih, dan ini seterusnya membantu kumpulan jenayah terancang mengembangkan pendapatan mereka daripada pengedaran dadah, kata Stock.
Menurutnya, pengedaran dadah masih menyumbang 40% hingga 70% pendapatan kumpulan jenayah.
“Namun kita dapat lihat dengan jelas mereka mengembangkan perniagaan jenayah mereka menggunakan laluan pengedaran dadah untuk pemerdagangan manusia, senjata, harta intelek, barangan curi, dan kecurian kereta,” katanya.
Pendapatan haram sebanyak kira-kira USD2 trilion hingga USD3 trilion disalurkan menerusi sistem kewangan global itu setiap tahun, katanya, dengan menambah satu kumpulan jenayah terancang mampu meraih hasil USD50 bilion setahun.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu tahun lalu berkata, lebih 100,000 orang diperdagang memasuki pusat penipuan dalam talian di Kemboja. Pada November, Myanmar menyerahkan ribuan suspek penipuan telekomunikasi warga China pulang ke negara asal.