
Beliau bagaimanapun memaklumkan, pada 9 Sept lepas, pihak Biro Pusat Nasional (NCB) Interpol Kuala Lumpur telah menerima permohonan rasmi daripada NCB Jakarta bagi membantu mengesan individu tersebut.
“Sehingga kini, tiada sebarang permohonan ekstradisi yang dikemukakan oleh pihak kerajaan Indonesia ke atas Riza Chalid.
“Semakan juga mendapati pihak NCB Jakarta masih dalam proses memohon penerbitan notis merah Interpol terhadap subjek tersebut,” katanya menerusi jawapan bertulis Parlimen sebagai respons kepada pertanyaan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu).
Takiyuddin meminta menteri dalam negeri menyatakan status keberadaan Riza yang dilaporkan melarikan diri ke Malaysia.
Dalam pada itu, Saifuddin menegaskan kerajaan Malaysia menghormati prinsip undang-undang antarabangsa serta komitmen kerjasama serantau dalam memerangi rasuah dan jenayah rentas sempadan.
“Sekiranya terdapat bukti dan permintaan rasmi yang dikemukakan oleh kerajaan Indonesia berhubung individu ini, Kementerian Dalam Negeri melalui agensi penguatkuasaan yang berkaitan akan memberikan kerjasama sepenuhnya.
“Kerajaan tidak akan membenarkan Malaysia dijadikan tempat berlindung bagi mana-mana individu yang melarikan diri daripada tindakan undang-undang di negara asal mereka,” katanya.
Dilaporkan pada September bahawa Polis Indonesia memohon Interpol di Lyon, Perancis, mengeluarkan notis merah terhadap Riza Chalid.
Setiausaha NCB Interpol Indonesia Untung Widyatmoko berkata, Pejabat Peguam Negaranya telah melengkapkan semua syarat permohonan itu.
Riza dimasukkan dalam senarai orang paling dikehendaki Pejabat Peguam Negara Indonesia sejak 19 Ogos lepas.
Menteri Imigresen dan Pemasyarakatan Agus Andrianto turut mengumumkan pasportnya telah dibatalkan.
Menurut Agus, Riza dikesan berada di Malaysia selepas meninggalkan Indonesia pada Februari lepas.