Houthi lancar peluru berpandu sasar kapal dagang Denmark

Houthi lancar peluru berpandu sasar kapal dagang Denmark

Bagaimanapun serangan tidak menyebabkan kecederaan atau kerosakan.

Houthi menguasai sebahagian besar pantai Laut Merah di Yaman sebelum ini mengancam menyerang mana-mana kapal dikaitkan dengan Israel. (Gambar AP)
MOSCOW:
Kumpulan Houthi melancarkan empat peluru berpandu antikapal dengan sekurang-kurangnya tiga daripada peluru itu menyasarkan kapal dagang Denmark MT Pollux di Laut Merah, menurut Markas Pemerintah Pusat AS (Centcom), lapor Sputnik.

Dalam kenyataan, Centcom berkata serangan itu tidak menyebabkan kecederaan atau kerosakan pada kapal dan kru kapal MT Pollux atau kapal lain di perairan berkenaan.

Menurut kenyataan itu, tentera AS pada masa sama melancarkan serangan mempertahankan diri daripada satu peluru berpandu jelajah antikapal dan satu kenderaan permukaan tanpa pemandu (USV), di perairan Yaman.

Centcom mendapati peluru berpandu dan USV itu memberikan ancaman kepada kapal tentera laut AS dan kapal dagang di rantau itu.

Houthi, yang menguasai sebahagian besar pantai Laut Merah di Yaman, sebelum ini mengancam menyerang mana-mana kapal dikaitkan dengan Israel.

Kumpulan itu sebelum ini mendakwa tindakan mereka di Laut Merah bertujuan membantu rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, dengan menyatakan bahawa mereka tidak mengganggu kebebasan pelayaran di rantau berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.