Kes tipu niaga, Trump diarah bayar denda USD355 juta

Kes tipu niaga, Trump diarah bayar denda USD355 juta

Bekas presiden AS itu didakwa serah data kewangan palsu bagi mendapat pinjaman lebih banyak.

Bekas presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, diarah bayar denda USD355 juta oleh Mahkamah Agung New York. (Gambar AP)
NEW YORK:
Bekas presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan organisasi perniagaannya diarah membayar penalti sebanyak USD355 juta membabitkan kes penipuan perniagaan dikemukakan Peguam Negara New York Letitia James, lapor Xinhua.

Trump dan entitinya didakwa menyerahkan data kewangan palsu kepada akauntan bagi membolehkan pinjaman lebih banyak dan pada kadar lebih rendah, menurut hakim Mahkamah Agung New York County Arthur F Engoron.

“…defendan gagal menerima tanggungjawab atau mengenakan kawalan dalaman untuk memastikan perkara itu tidak berulang pada masa akan datang,” kata Engoron merujuk ringkasan dokumen 92 muka surat.

Selain Trump; Allen Weisselberg, bekas ketua pegawai kewangan Organisasi Trump dan Jeffrey McConney, bekas pengawal Organisasi Trump, dilarang daripada berkhidmat sebagai pegawai atau pengarah dalam mana-mana perbadanan atau entiti undang-undang lain di New York selama tiga tahun.

Weisselberg dan McConney, dilarang secara kekal daripada berkhidmat dalam institusi kewangan di mana-mana perbadanan New York atau entiti perniagaan yang serupa di negeri itu.

Sementara itu, Weisselberg, Donald Trump Jr, dan Eric Trump masing-masing didenda USD1 juta, USD4.01 juta, dan USD4.01 juta.

Eric dan Trump Jr mengkritik penghakiman itu dan peguam Donald Trump, Chris Kise bercadang untuk mengemukakan rayuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.