Rektor Universiti Islam, keluarga terbunuh dalam serangan udara Israel

Rektor Universiti Islam, keluarga terbunuh dalam serangan udara Israel

Sufyan Tayeh pernah tersenarai sebagai penyelidik terbaik dunia pada 2021.

Rektor Universiti Islam Gaza Sufyan Tayeh termasuk keluarganya terkorban susulan serangan udara Israel di Faluja, Gaza. (Gambar Facebook)
ISTANBUL:
Rektor Universiti Islam Gaza Sufyan Tayeh dan keluarganya terbunuh dalam serangan udara Israel pada Sabtu, lapor Agensi Anadolu.

Serangan udara itu berlaku di kawasan al-Faluja di Jabalia, timur laut Semenanjung Gaza.

“Ahli akademik dan Presiden Universiti Islam Sufian Tayeh dan keluarganya meninggal dunia hari ini akibat serangan udara tentera penceroboh di kawasan Faluja di Gaza,” menurut Menteri Pendidikan Mahmoud Abu Mouis dalam kenyataan.

Menurut laporan Quds News Network, Tayeh tersenarai sebagai antara penyelidik terbaik dunia, pada 2021.

Dilahirkan pada 1971 di utara Gaza, Tayeh merupakan seorang penyelidik dalam fizik dan matematik gunaan.

Tentera penceroboh Israel meneruskan pengeboman di Semenanjung Gaza pada awal Jumaat selepas mengisytiharkan jeda kemanusiaan selama seminggu tamat.

Sementara itu, lebih 200 orang awam termasuk kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara, darat, dan laut di seluruh Semenanjung Gaza pada Sabtu, menurut Agensi Berita Palestin (WAFA).

Di Khan Yunis di selatan Gaza, pesawat pejuang Israel melakukan beberapa siri pengeboman ke atas kediaman yang mengakibatkan kematian dan kecederaan berpuluh-puluh orang awam.

Tentera Israel turut memaksa penduduk di bandar Khan Yunis mengosongkan rumah mereka sekali gus meningkatkan jumlah penduduk yang hilang tempat tinggal.

Di Bandaraya Gaza, serangan tentera Israel ke atas blok kediaman penduduk mengakibatkan lebih 150 orang awam terbunuh di kawasan perumahan Shujaeya, menurut laporan tempatan dan perubatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.