Serangan Israel, 100,000 larikan diri ke Syria

Serangan Israel, 100,000 larikan diri ke Syria

Mereka menyeberang ke Syria akibat serangan udara Israel ke atas Lubnan.

Israel lancar serangan udara besar-besaran terhadap apa didakwa sasaran Hizbullah di Lubnan, sejak 23 Sept. (Gambar AP)
LONDON:
Kira-kira 100,000 warga Syria dan Lubnan melarikan diri dari Lubnan ke Syria di tengah-tengah serangan berterusan Israel, kata pesuruhjaya tinggi PBB bagi pelarian.

“Jumlah orang yang telah menyeberang ke Syria dari Lubnan bagi melarikan diri daripada serangan udara Israel – warga Lubnan dan Syria – telah mencecah 100,000. Aliran keluar masih berterusan,” kata Filippo Grandi di X.

“UNHCR (Agensi Pelarian PBB) hadir di empat titik persimpangan bersama pihak berkuasa tempatan dan @SYRedCrescent untuk menyokong ketibaan baharu,” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Grandi.

Sejak 23 Sept, Israel telah melancarkan serangan udara besar-besaran terhadap apa yang dikatakannya sebagai sasaran Hizbullah di seluruh Lubnan, membunuh lebih 900 orang dan mencederakan lebih 2,700 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.

Beberapa komander Hizbullah terbunuh dalam serangan itu, termasuk pemimpinnya Hassan Nasrallah yang dibunuh dalam serangan udara di Beirut, pada Jumaat.

Hizbullah dan Israel telah terlibat dalam serangan rentas sempadan sejak bermulanya pencerobohan Israel di Gaza, yang telah mengorbankan hampir 41,600 orang, kebanyakannya wanita, dan kanak-kanak.

Masyarakat antarabangsa telah memberi amaran bahawa serangan Israel di Lubnan boleh meningkatkan konflik Gaza kepada perang serantau yang lebih luas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.