Pengarah Hospital Al-Wafa di Gaza maut dibom tentera Israel

Pengarah Hospital Al-Wafa di Gaza maut dibom tentera Israel

Pesawat rejim Israel dilaporkan menyerang hospital itu menyebabkan pengarahnya Midhad Mhaisen terbunuh dan beberapa doktor cedera.

Tentera Israel dilaporkan turut mengebom beberapa kawasan di kem pelarian Jabalia, rumah di Beit Lahia, sekitar menara kediaman di Kota Sheikh Zayed Gaza dan sekitar hospital Indonesia. (Gambar AP)
GAZA:
Pengarah Hospital Al-Wafa dan Rumah Penjagaan Warga Emas di Bandar Gaza terbunuh dalam serangan udara Israel pada Jumaat malam, lapor agensi berita rasmi Palestin Wafa.

Sumber tempatan berkata pesawat pejuang tentera rejim Israel menyasarkan hospital itu, menyebabkan pengarahnya Midhad Mhaisen terbunuh dan beberapa doktor cedera.

Wafa melaporkan bahawa pesawat pejuang Israel melancarkan beberapa siri serangan ganas dari udara ke atas beberapa kawasan di utara Semenanjung Gaza yang dikepung.

Sumber tempatan berkata serangan menyasarkan beberapa kawasan di kem pelarian Jabalia, rumah orang awam di Beit Lahia, sekitar menara kediaman di Kota Sheikh Zayed Gaza dan sekitar hospital Indonesia.

Serangan tentera rejim Zionis di Semenanjung Gaza memasuki hari ke-43 pada Sabtu dengan angka terkini menunjukkan lebih 12,000 rakyat Palestin terbunuh, termasuk lebih 8,300 wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 30,000 lagi cedera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.