Rakyat Malaysia di Iran digesa keluar segera

Rakyat Malaysia di Iran digesa keluar segera

Kementerian Luar sahkan semua rakyat Malaysia berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Tehran selamat.

iran tehran
Konflik Iran-Israel semakin memuncak sejak Jumaat lepas susulan serangan udara tanpa provokasi oleh Israel ke atas wilayah Iran, dilapor mengorbankan beberapa pegawai kanan tentera dan ahli sains. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Semua rakyat Malaysia di Iran diseru agar meninggalkan negara itu serta-merta ekoran situasi keselamatan yang semakin tegang susulan tindakan agresif Israel.

Kementerian Luar memaklumkan, keadaan di Iran kekal tidak menentu dan berisiko bertambah buruk tanpa amaran awal.

“Berikutan keadaan yang semakin merosot, semua rakyat Malaysia di Iran digesa supaya meninggalkan negara itu dengan segera menggunakan apa jua kaedah yang tersedia,” menurut Kementerian Luar, lapor Bernama.

Kementerian turut mengesahkan, semua rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Tehran berada dalam keadaan selamat dan mereka telah dinasihatkan supaya keluar dari negara itu tanpa berlengah.

“Kedutaan akan terus menyediakan bantuan konsul yang diperlukan bagi memudahkan proses perjalanan mereka. Keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

Bagi sebarang kecemasan, rakyat Malaysia di Iran boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tehran di alamat: No. 25, 2nd Alley, North Zarafshan St., Shahrak-e-Gharb; nombor telefon: +98 21 8807 2444, +98 21 8807 8606, +98 933 535 2602 atau e-mel: [email protected] / [email protected].

Kementerian turut mengaktifkan Bilik Gerakan bermula 17 Jun, dan ahli keluarga terdekat rakyat Malaysia di Iran boleh menghubungi kementerian untuk maklumat lanjut di talian +603 8887 4570 atau e-mel: [email protected].

Konflik antara Iran dan Israel semakin memuncak sejak Jumaat lepas susulan serangan udara tanpa provokasi oleh Israel ke atas wilayah Iran yang dilaporkan mengorbankan beberapa pegawai kanan tentera dan ahli sains.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan peluru berpandu balistik ke beberapa lokasi di Israel, mengakibatkan beberapa kematian dan kecederaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.