PBB lapor penularan wabak hepatitis di Gaza

PBB lapor penularan wabak hepatitis di Gaza

Penularan itu dipercayai daripada pengambilan air daripada sumber tidak selamat di pusat perlindungan UNRWA.

Sebanyak 26 hospital dan 55 pusat kesihatan di Gaza telah ditutup apabila Israel menggugurkan 100,000 bom dan roket, sejak 7 Okt lalu. (Gambar AP)
GAZA:
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan penularan wabak hepatitis dalam kalangan penduduk Palestin di pusat perlindungan Gaza.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) PBB dalam kenyataan, berkata wabak hepatitis dilaporkan di pusat perlindungan dikendalikan Agensi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), lapor Agensi Berita Xinhua.

Menurut kenyataan itu, penduduk masih menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan air minuman di Bandaraya Gaza dan di wilayah utara kerana kebanyakan kemudahan pengeluaran air masih ditutup akibat kekurangan bahan api, manakala sebahagiannya rosak.

Air digunakan penduduk ketika ini diambil daripada telaga persendirian dan telaga UNRWA yang menimbulkan kebimbangan serius mengenai penyakit bawaan air akibat penggunaan air daripada sumber tidak selamat.

Sistem penjagaan kesihatan lumpuh

Pertubuhan Kesihatan Sedunia juga menekankan keperluan segera untuk perlindungan, makanan, air bersih, tempat tinggal, sanitasi, dan perubatan untuk orang awam di Gaza dengan memberi amaran kesesakan akibat pemindahan besar-besaran dan keadaan hidup yang tidak selamat meningkatkan risiko penyakit.

Seorang pegawai Kementerian Kesihatan berpangkalan di Gaza, Munir al-Bursh berkata sistem penjagaan kesihatan di Semenanjung Gaza lumpuh sepenuhnya akibat kekurangan serius sumber perubatan dan peralatan menyelamatkan nyawa.

Menurut beliau, sebanyak 26 hospital dan 55 pusat kesihatan di Semenanjung Gaza telah ditutup akibat serangan Israel.

Seramai 15,207 rakyat Palestin telah terbunuh akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza, sejak 7 Okt lalu.

Bilangan mereka yang dilaporkan hilang telah meningkat kepada lebih 7,500 orang sama ada terperangkap di bawah runtuhan atau nasib mereka tidak diketahui, manakala jumlah kecederaan mencecah 40,650 orang.

100,000 bom dan roket digugur

Pengarah Pegawai Media Kerajaan di Gaza, Ismael Al-Thawabteh pada sidang media, berkata Israel menyerang wilayah terkepung itu dengan kira-kira 100,000 bom dan roket sejak konflik bermula.

Beliau berkata, terdapat beberapa bom seberat 2,000 paun digugurkan untuk menyasarkan orang awam.

Al-Thawabteh juga mengecam dasar sekatan yang menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan, menggesa kemasukan harian sebanyak seribu trak yang membawa bantuan dan bekalan selain satu juta liter bahan api untuk menyelamatkan apa sahaja yang boleh diselamatkan daripada konflik itu, menurut Xinhua.

Beliau menggesa kemasukan ratusan peralatan dan jentera untuk bantuan, pasukan tindak balas kecemasan dan pertahanan awam untuk mengeluarkan ratusan mayat yang masih tertimbus di bawah runtuhan.

“Penghantaran ini perlu untuk membersihkan sisa runtuhan akibat pengeboman dan kemusnahan ratusan ribu rumah, sekolah, hospital, jalan raya, dan kemudahan kritikal,” tegas Al-Thawabteh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.