Lebih 67,000 rakyat Gaza terkorban

Lebih 67,000 rakyat Gaza terkorban

Daripada jumlah itu 169,430 cedera dengan 459 maut akibat kebuluran dengan 154 merupakan kanak-kanak.

Gaza Israel
Tentera udara Israel tetap melancarkan siri serangan udara besar-besaran di sebalik persetujuan Hamas bebaskan tawanan. (Gambar EPA Images)
GAZA:
Angka kematian rakyat Palestin akibat serangan rejim Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt 2023, sudah melebihi 67,000, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, lapor Xinhua.

Pihak berkuasa kesihatan itu dalam kenyataan, berkata seramai 67,074 terbunuh dan 169,430 lagi cedera sejak konflik berkenaan meletus.

Dalam kenyataan berasingan, pihak berkuasa itu memaklumkan dua kanak-kanak meninggal dunia dalam tempoh 24 jam lepas akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan, menjadikan jumlah kematian yang dikaitkan dengan kekurangan makanan seramai 459, termasuk 154 kanak-kanak.

Walaupun Israel mengeluarkan kenyataan membayangkan pengurangan operasi ketenteraan susulan gesaan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk menghentikan pengeboman dan persetujuan Hamas untuk membebaskan semua tawanan, tentera udara Israel tetap melancarkan siri serangan udara besar-besaran ke atas Bandaraya Gaza, pada pagi Sabtu.

Menurut saksi, tentera Israel turut melepaskan tembakan ke arah puluhan orang awam yang cuba bergerak dari selatan Gaza ke bahagian utara Semenanjung itu melalui koridor Netzarim berhampiran Rashid Street.

Dalam kenyataan, tentera Israel memberi amaran kepada penduduk agar tidak kembali ke kawasan di utara Wadi Gaza, menyifatkannya sebagai ‘masih zon pertempuran berbahaya’, dan menggesa orang awam menggunakan Rashid Street untuk bergerak ke selatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.