Lebih 3,000 kanak-kanak Gaza jadi korban Israel

Lebih 3,000 kanak-kanak Gaza jadi korban Israel

Pesuruhjaya Agensi Kerja dan Bantuan PBB bagi Pelarian Palestin Philippe Lazzarini berkata tiada tempat selamat di Gaza.

Pesuruhjaya UNRWA Philippe Lazzarini, berkata 64 petugasnya juga maut di Gaza, selain membayangkan situasi di kawasan itu makin meruncing. (Gambar AP/Abed Khaled)
NEW YORK:
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekali lagi mengadakan mesyuarat tergempar pada Isnin bagi membincangkan konflik terkini ketika pengeboman berterusan tentera penceroboh Israel ke atas Gaza.

Pada sesi berkenaan, Pesuruhjaya Agensi Kerja dan Bantuan PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini berkata hampir 70% mereka terkorban di Gaza terdiri kanak-kanak dan wanita.

Hampir 3,200 kanak-kanak maut di Gaza dalam tempoh tiga minggu ini melebihi jumlah kanak-kanak yang terbunuh setiap tahun di seluruh zon konflik di dunia sejak 2019, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Lazzarini berkata, konflik terbabit turut meragut 64 nyawa petugasnya sejak 7 Okt.

Beliau berkata, selain Gaza, satu lagi konflik sedang berlaku di Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur dan kematian rakyat Palestin tahun ini adalah yang tertinggi sejak PBB mula menyimpan rekod bermula 2005.

Lazzarini berkata, situasi kemanusiaan yang meruncing di Semenanjung Gaza, dengan bekalan ubat-ubatan, makanan, air dan bahan api semakin kehabisan, mendorong ribuan penduduk berpusu-pusu ke gudang bantuan dan pusat pengedaran UNRWA.

“Jika situasi bertambah meruncing mungkin mustahil bagi agensi PBB yang terbesar di Gaza itu mampu untuk terus beroperasi, apatah lagi untuk membawa masuk konvoi,” katanya.

Tahap kemusnahan dan krisis kemanusiaan di Gaza disifatkan belum pernah berlaku sebelum ini.

Walaupun separuh penduduk Gaza telah diarah berpindah ke selatan oleh tentera penceroboh Israel, sejumlah besar daripadanya terbunuh ketika mencari perlindungan.

“Berulang kali saya katakan dan saya akan ulang sekali lagi, tiada tempat yang selamat di Gaza,” kata Lazzarini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.