AS musnah senjata kimia terakhir

AS musnah senjata kimia terakhir

Roket M55 yang dilengkapi agen saraf sarin itu dimusnahkan di Depoh Tentera Blue Grass di Kentucky.

AS pernah mempunyai lebih 30,000 tan ejen perang kimia, dan pada 1986, Kongres mengeluarkan mandat bahawa senjata itu perlu dimusnahkan. (Gambar AP)
WASHINGTON:
Pegawai Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat berkata, AS telah memusnahkan senjata kimia terakhirnya, sekali gus menyelesaikan proses selama beberapa dekad.

Roket M55 yang dilengkapi agen saraf sarin itu telah dimusnahkan di Depoh Tentera Blue Grass di Kentucky, lapor United Press International (UPI).

“Ini kali pertama badan antarabangsa mengesahkan pemusnahan keseluruhan kategori senjata pemusnah besar-besaran – mengukuhkan komitmen AS untuk mewujudkan dunia yang bebas senjata kimia,” kata Setiausaha Pertahanan Pemerolehan dan Penyenggaraan William A LaPlante dalam kenyataan.

AS pernah mempunyai lebih 30,000 tan ejen perang kimia, dan pada 1986, Kongres mengeluarkan mandat bahawa senjata itu perlu dimusnahkan. Prosesnya bermula pada 1990.

Presiden Joe Biden yang memuji usaha berkenaan berkata, semua negara harus menyertai Konvensyen Senjata Kimia untuk mengenakan larangan terhadap senjata sedemikian,

“Selama lebih 30 tahun, AS telah bekerja tanpa jemu untuk menghapuskan simpanan senjata kimia kami,” katanya.

“Hari ini, saya dengan bangganya mengumumkan bahawa AS telah selamat memusnahkan peluru terakhir yang ada dalam simpanan, membawa kita selangkah lebih dekat ke dunia yang bebas senjata kimia.”

Bulan lepas, satu pasukan syarikat di Colorado yang diketuai oleh Bechtel National Inc. telah menyelesaikan proses memusnahkan lebih 780,000 peluru kimia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.