Gencatan senjata di Sudan gagal, pertempuran meletus semula

Gencatan senjata di Sudan gagal, pertempuran meletus semula

Menurut laporan, hospital menjadi sasaran serangan Angkatan Tentera Sudan dan Rapid Support Forces.

Pertempuran dilaporkan merebak ke Bahri dan Omdurman, bandar bersebelahan Khartoum, selain sekitar ibu pejabat tentera serta istana presiden. (Gambar Bernama)
KHARTOUM:
Gencatan senjata 72 jam di Sudan gagal dipatuhi apabila pertempuran kembali meletus antara dua pihak bertelagah, menurut persatuan doktor pada Sabtu.

Hospital terus menjadi sasaran serangan membabitkan Angkatan Tentera Sudan (SAF) dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF), dengan kedua-dua pihak dikatakan gagal memenuhi komitmen gencatan senjata, lapor Agensi Anadolu memetik Jawatankuasa Pusat Doktor-doktor Sudan (CCSD).

Pertempuran dilaporkan merebak ke Bahri dan Omdurman, bandar bersebelahan Khartoum, ibu negara Sudan dan pertempuran turut berlaku di sekitar ibu pejabat tentera serta istana presiden.

Sementara itu, proses pemindahan diplomat asing bermula apabila kedua-dua pihak bertelagah menyuarakan kesediaan membuka lapangan terbang.

SAF dalam kenyataan di Facebook berkata, ketua tentera Jeneral Abdel Fattah Burhan menerima permintaan beberapa negara untuk membenarkan pemindahan rakyat mereka.

“Kami sedang menunggu untuk memulakan proses seterusnya dalam masa terdekat kerana Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis dan China akan menyediakan pesawat tentera untuk proses pemindahan itu.”

Misi diplomatik Arab Saudi menjadi negara pertama memindahkan rakyatnya melalui Pelabuhan Sudan dan Jordan turut menggunakan laluan sama.

Turut dilaporkan Turki dan Kuwait akan melancarkan operasi memindahkan rakyat mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.