
Menteri Luar Mohamad Hasan berkata, menteri-menteri luar Asean dalam satu mesyuarat khas hari ini menyambut baik rundingan berterusan mengenai gencatan senjata dan penamatan permusuhan antara kedua-dua negara.
Beliau berkata, mesyuarat itu turut menggesa kedua-dua kerajaan untuk menjamin keselamatan orang awam yang terjejas agar mereka dapat pulang ke kediaman masing-masing dan kembali menjalani kehidupan seharian dengan selamat dan bermaruah.
“Mesyuarat menzahirkan kebimbangan serius berhubung ketegangan dan permusuhan berterusan yang telah mengakibatkan jumlah kemalangan jiwa yang besar, kerosakan infrastruktur awam, serta perpindahan penduduk di kedua-dua belah sempadan,” katanya.
Beliau berkata, Asean akan terus memantau rapat perkembangan semasa serta kekal komited dalam menyokong usaha penyelesaian damai bagi konflik tersebut.
Mesyuarat itu dihadiri oleh menteri-menteri luar dan pegawai kanan negara anggota, termasuk Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Kemboja Prak Sokhonn, serta rakan sejawatnya dari Thailand, Sihasak Phuangketkeow.
Selama lebih seabad, Thailand dan Kemboja mempertikaikan sebahagian sempadan darat sepanjang 817km, dengan pertelingkahan mengenai kuil purba kadang-kala mencetuskan pertempuran bersenjata, termasuk serangan artileri berdarah selama seminggu pada 2011.
Ketegangan kembali memuncak pada Mei lepas, selepas seorang askar Kemboja terbunuh dalam satu pergelutan, mencetuskan pengerahan tentera secara besar-besaran dan pertempuran baharu yang menjejaskan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Kedua-dua pihak mempersetujui gencatan senjata pada 28 Julai dan menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur pada 26 Okt. Bagaimanapun, pertempuran kembali meletus sejak itu, mengakibatkan beberapa kematian dan menyebabkan ribuan penduduk hilang tempat tinggal.