
Anggota penyelamat mula mengalihkan usaha mencari mangsa terselamat, untuk memfokuskan terhadap ratusan ribu orang yang kini hilang tempat tinggal.
Lapan hari selepas gempa dengan magnitud 7.8 itu, media Turki melaporkan masih ada mangsa dikeluarkan dari celah runtuhan.
Angka kematian disahkan 35,224 dengan pihak berkuasa dan anggota pasukan perubatan berkata, 31,643 maut di Turki manakala 3,581 di Syria. Gempa pada 6 Februari lalu itu yang kelima terburuk sepanjang kurun ke-21 ini.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu memberi amaran angka kematian akan terus meningkat, dan harapan menemui mangsa terselamat kini semakin pudar.
“Hantar saja apa yang kamu mampu kerana jutaan orang di sini memerlukan makanan,” kata Menteri Dalam Negeri Turki Suleyman Soylu kepada rakyat negara itu pada Ahad.
Di Kahramanmaras berhampiran pusat gempa, 30,000 khemah didirikan. Seramai 48,000 orang berlindung di sekolah-sekolah dan 11,500 lagi di dewan sukan, katanya.
Usaha mencari dan menyelamat telah dihentikan di tujuh daerah wilayah itu.