Siar ‘berita palsu’ perang, wartawan Rusia dipenjara

Siar ‘berita palsu’ perang, wartawan Rusia dipenjara

Alexander Nevzorov dipenjara lapan tahun secara 'in absentia' selepas didapati bersalah menyebarkan 'berita palsu' mengenai tentera Rusia.

Alexander Nevzorov dan isterinya meninggalkan Rusia pada Mac tahun lalu, dan diberikan kerakyatan Ukraine. (Gambar AP)
MOSCOW:
Seorang wartawan terkemuka, Alexander Nevzorov dipenjara lapan tahun secara “in absentia” (tanpa kehadirannya) selepas didapati bersalah menyebarkan “berita palsu” mengenai tentera Rusia.

Penyiasat memulakan siasatan terhadap Nevzorov tahun lalu kerana hantarannya di media sosial yang menuduh pasukan bersenjata Rusia sengaja mengebom sebuah hospital bersalin di Mariupol, Ukraine. Perkara itu dinafikan Moscow.

Mahkamah dalam kenyataan hari ini berkata, Nevzorov akan menjalani hukuman itu sekiranya kembali ke Rusia, selain dilarang menguruskan kandungan internet selama empat tahun.

Nevzorov yang mengendalikan saluran YouTube dengan hampir dua juta langganan meninggalkan Rusia pada Mac tahun lalu bersama isterinya selepas menyelar siasatan terhadapnya sebagai “merepek”.

Beliau diberi kerakyatan Ukraine pada Jun selepas lantang mengkritik serangan Rusia di Ukraine itu sebagai satu “jenayah”.

Lapan hari selepas menyerang Ukraine, Rusia meluluskan undang-undang yang menetapkan hukuman penjara sehingga 15 tahun bagi mereka yang sengaja menyebarkan “berita palsu” mengenai tentera Rusia.

Rusia juga menyekat akses kepada portal berita yang menyiarkan kandungan bertentangan dengan pendirian rasmi Moscow berhubung konflik itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.