Dakwa difitnah, dianiaya, penulis sekali lagi saman Trump

Dakwa difitnah, dianiaya, penulis sekali lagi saman Trump

Seorang penulis memfailkan saman fitnah untuk kali kedua terhadap Donald Trump, kerana mendakwa bekas presiden AS itu berbohong apabila menafikan pernah merogolnya, 27 tahun lalu.

Kolumnis E Jean Carroll turut menuduh Donald Trump menganiayanya di sebuah gedung serbaneka di Manhattan. (Gambar AP)
NEW YORK:
Seorang penulis memfailkan saman fitnah untuk kali kedua terhadap Donald Trump, kerana mendakwa bekas presiden AS itu berbohong apabila menafikan pernah merogolnya, 27 tahun lalu.

Dalam aduan difailkan di mahkamah persekutuan Manhattan, bekas kolumnis majalah Elle, E Jean Carroll turut mendakwa Trump menganiayanya dalam kejadian di gedung serbaneka Bergdorf Goodman di Manhattan.

Carroll, 78, membawa tuduhan aniaya itu di bawah New York’s Adult Survivor’s Act iaitu undang-undang baharu yang memberikan tempoh setahun untuk mangsa serangan seksual menyaman penyerang mereka sekalipun kejadian telah lama berlalu dan melepasi had pembatasan.

Khamis yang juga Hari Kesyukuran adalah hari pertama saman seumpama itu boleh dikemukakan.

Trump, 76, menafikan merogol Carroll atau mengenalinya pada waktu itu, malah pernah berkata beliau “bukan citarasa saya”.

Kali pertama Trump membuat penafian itu pada Jun 2019 membuatkan Carroll memfailkan saman fitnah lima bulan kemudian.

Trump kemudian mengulangi penafian itu dalam hantaran pada 12 Okt di akaun Truth Social miliknya dengan menuduh dakwaan Carroll itu satu “hoax” dan pembohongan”, seterusnya mencetuskan saman fitnah kedua ini.

Kedua-dua pihak menanti keputusan rayuan melibatkan hujah Trump bahawa beliau kebal dari segi undang-undang dalam saman pertama Carroll kerana kenyataannya dibuat dalam kapasiti sebagai presiden.

Jika mahkamah bersetuju dengan dakwaan itu, bererti kerajaan AS akan menggantikan Trump sebagai defendan seterusnya menggagalkan saman Carroll. Ini disebabkan kerajaan AS kebal daripada sebarang tuntutan fitnah.

Bagaimanapun, keputusan itu tidak akan menjejaskan saman keduanya kerana Trump kini rakyat biasa selepas meninggalkan Rumah Putih pada Januari 2021.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.