Putin arah pertingkat lindung kemudahan di Crimea

Putin arah pertingkat lindung kemudahan di Crimea

Ia susulan sebuah trak dilaporkan meletup atas Jambatan Crimea yang menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh, manakala sebahagian jambatan runtuh.

Presiden Rusia Vladimir Putin menandatangani dekri memberi kuasa kepada Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia mengatur dan menyelaras langkah bagi melindungi kemudahan di lintasan pengangkutan Selat Kerch. (Gambar AP)
MOSCOW:
Presiden Rusia Vladimir Putin menandatangani dekri bagi mengukuhkan langkah keselamatan di lintasan pengangkutan Selat Kerch, grid kuasa yang menghubungkan Crimea dan saluran paip gas utama ke kawasan Semenanjung.

Dekri itu memberi kuasa kepada Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia untuk mengatur dan menyelaras langkah bagi melindungi kemudahan itu, lapor Xinhua.

Terdahulu, satu letupan menggegarkan Jambatan Crimea sepanjang 19km, pada Sabtu, jambatan dilengkapi kemudahan jalan raya dan landasan kereta api.

Sebuah trak dilaporkan meletup atas jambatan berkenaan dan menyebabkan tujuh tangki minyak kereta api yang dalam perjalanan ke Semenanjung Crimea terbakar.

Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh manakala sebahagian jambatan runtuh.

Laluan trafik dibuka semula kepada kereta dan bas dengan prosedur pemeriksaan yang ketat manakala trak perlu menggunakan perkhidmatan feri untuk menyeberangi Selat Kerch, kata ketua Crimea Sergei Aksyonov.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Rusia Marat Khusnullin, berkata perkhidmatan kereta api di jambatan berkenaan sudah pulih sepenuhnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.