
Kejadian itu menyusul sehari selepas tragedi 10 mangsa ditembak mati oleh seorang remaja berusia 18 tahun di sebuah pasar raya di Buffalo, New York.
Pihak berkuasa memaklumkan, panggilan kecemasan diterima daripada Gereja Geneva Presbyterian pada 1.26 tengah hari semalam.
“Seorang mangsa terkorban di lokasi kejadian, manakala empat lagi parah,” menurut Jabatan Syerif Daerah Orange dalam kenyataan melalui Twitter.
Jabatan itu berkata, seorang mengalami kecederaan ringan dan semua mangsa adalah orang dewasa.
Mereka juga berkata, seorang individu telah ditahan manakala senjata yang disyaki digunakan dalam insiden berkenaan juga dirampas.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Bomba Daerah Orange memaklumkan di Twitter, anggota bomba serta paramedik sudah dikerahkan ke lokasi kejadian.
Pejabat Gabenor California, Gavin Newsom, pula berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan pegawai tempatan untuk memantau keadaan susulan kejadian itu.
Bernama semalam melaporkan, sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dan tiga lagi cedera selepas seorang lelaki melepaskan tembakan di pasar raya di bandar Buffalo, menurut Jabatan Polis Buffalo.
Kejadian berlaku di Tops Markets di Jefferson Avenue, lapor agensi Anadolu.
Suspek lelaki berkulit putih berusia 18 tahun berjaya ditahan, kata Pesuruhjaya Polis Buffalo Joseph Gramaglia dalam sidang media.