
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) minggu lalu berkata telah menerima laporan sekurang-kurangnya 228 kes yang kemungkinannya adalah hepatitis, atau radang hati, dalam kalangan kanak-kanak di 20 negara.
Budi berkata, Indonesia telah mengesan 15 kes sejak melancarkan siasatan terhadap penyakit itu baru-baru ini. Tambahnya, pihak berkuasa belum mengenal pasti punca yang sahih.
Beliau tidak mengatakan sama ada kesemua 15 kes itu melibatkan kanak-kanak, mahupun rawatan yang diterima.
Jurucakap Kementerian Kesihatan belum dapat dihubungi untuk mengulas perkara itu.
Segelintir pakar kesihatan mengaitkan penyakit itu dengan jangkitan sejenis adenovirus iaitu satu virus biasa yang mampu menyebabkan gejala seperti flu atau masalah gastrousus.
Ada juga teori mengatakan sekatan pergerakan Covid-19 mungkin telah melemahkan imuniti kanak-kanak kerana golongan itu kurang terdedah dengan patogen biasa ketika terasing daripada masyarakat.
Pada masa sama saintis kini melihat sama ada adenovirus berkenaan telah melalui mutasi atau bertindak seiring jangkitan lain, antaranya Covid-19.
Awal bulan ini, Indonesia melaporkan kematian tiga kanak-kanak yang disyaki dijangkiti penyakit itu di Jakarta pada April.
Menurut Kementerian Kesihatan, kesemuanya telah menerima vaksinasi hepatitis.