62 ‘dibakar hidup-hidup’ selepas letupan lori tangki di Haiti

62 ‘dibakar hidup-hidup’ selepas letupan lori tangki di Haiti

Timbalan Datuk Bandar Cap-Haitien, Patrick Almonor berkata, mangsa 'dibakar hidup-hidup' sehingga 'mustahil untuk mengenal pasti identiti mereka'.

Anggota bomba berdiri bersebelahan bangkai lori tangki minyak yang meletup di Cap-Haitien semalam. (Gambar AP)

CAP-HAITIEN: Sekurang-kurangnya 62 maut dalam letupan besar membabitkan sebuah lori tangki minyak, selepas orang ramai mengerumuni kenderaan itu untuk mengambil minyak tumpah di jalanan – komoditi berharga di negara yang dibelenggu kekurangan bekalan teruk.

Letupan di bandar Cap-Haitien itu adalah malapetaka terbaharu yang melanda negara miskin Caribbean terbabit, selain berdepan keganasan geng dan kelumpuhan politik.

Gambar menunjukkan bangkai hangus lori tangki itu di kawasan Samarie, dengan bangunan di sekitarnya turut terbakar dalam letupan itu.

“Kami kini merekodkan 62 kematian,” kata Timbalan Datuk Bandar, Patrick Almonor sambil menambah pihak berkuasa masih mencari mangsa di bangunan berdekatan.

Beliau menceritakan keadaan ngeri di tempat kejadian dengan berpuluh-puluh orang “dibakar hidup-hidup” sehingga “mustahil untuk mengenal pasti identiti mereka”.

Katanya, kira-kira 40 rumah di sekitarnya turut mengalami kerosakan, tetapi tiada butiran mengenai jumlah mangsa yang berada di dalam rumah terbabit.

Lori tangki itu dipercayai terbalik selepas pemandunya hilang kawalan ketika mengelak sebuah teksi motosikal.

Hospital Universiti Justinien dibanjiri mangsa cedera yang dibawa ke sana.

“Kami tidak mempunyai keupayaan merawat sejumlah besar pesakit yang melecur teruk. Saya bimbang kami tidak mampu menyelamatkan mereka semua,” kata seorang jururawat kepada AFP.

Seorang doktor di hospital itu memberitahu stesen radio tempatan, Magik9 bahawa dua mangsa meninggal dunia di sana dan 40 lagi cedera parah, dengan lebih 60% badan mereka melecur.

Perdana Menteri, Ariel Henry – yang memimpin negara itu sejak Julai lalu selepas Presiden, Jovenel Moise dibunuh dalam plot penuh misteri – mengisytiharkan tiga hari berkabung susulan letupan itu.

Beliau ketika melawat tempat kejadian itu berkata, hatinya “remuk” selepas menyaksikan sendiri keadaan berpuluh-puluh mangsa cedera di sebuah hospital tempatan dan berjanji hospital medan akan ditubuhkan secepat mungkin untuk merawat mangsa letupan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.