
“Malangnya, ia menyebabkan kenaikan semula jangkitan,” kata ahli virologi Tulio de Oliveira pada sidang media.
Jumlah jangkitan harian di negara Afrika paling teruk dilanda wabak itu meningkat sepuluh kali ganda sejak awal bulan ini.
Sebagai tindak balas, Britain melarang semua perjalanan dari negara itu dan lima negara selatan Afrika yang lain disebabkan kebimbangan tentang varian baharu yang dikatakan saintis mungkin lebih cepat menular berbanding Delta dan lebih tahan terhadap vaksin sedia ada.
Varian berkenaan, berlabel saintifik B.1.1.529, “mempunyai bilangan mutasi yang sangat tinggi”, kata de Oliveira.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dijangka menamakannya hari ini, tambahnya.
Varian itu juga telah dikesan di Botswana dan Hong Kong dalam kalangan pelancong dari Afrika Selatan, menurut ahli virologi itu.
WHO berkata, ia sedang “memantau dengan teliti” varian yang dilaporkan dan dijangka bertemu hari ini untuk menentukan sama ada ia akan diklasifikasikan sebagai varian “mempunyai kepentingan” (VOI) atau “menjadi kebimbangan” (VOC).
“Analisis awal menunjukkan bahawa varian ini mempunyai sejumlah besar mutasi yang memerlukan dan akan menjalani kajian lanjut,” tambahnya.
Menteri Kesihatan Afrika Selatan Joe Phaahla berkata, varian berkenaan menjadi “kebimbangan serius” dan adalah faktor peningkatan “secara eksponen” dalam kes yang dilaporkan, menjadikannya satu “ancaman besar”.
Jumlah jangkitan harian negara itu mencecah 1,200 pada Rabu, meningkat daripada 106 pada awal bulan.
Sebelum varian baharu itu dikesan, pihak berkuasa telah meramalkan gelombang keempat akan melanda Afrika Selatan bermula sekitar pertengahan Disember, didorong oleh perjalanan menjelang musim perayaan.