PM Perancis positif Covid-19, PM Belgium dikuarantin

PM Perancis positif Covid-19, PM Belgium dikuarantin

Jean Castex mendapat tahu anaknya disahkan positif Covid-19 selepas pulang dari Brussels, dan ujian kemudian mengesahkan beliau turut dijangkiti.

Perdana Menteri Perancis Jean Castex berucap selepas mesyuarat rundingan keselamatan Belgium-Perancis di Brussels semalam. (Gambar AP)

PARIS/BRUSSELS: Perdana Menteri Perancis Jean Castex disahkan positif Covid-19, lapor Xinhua memetik media Perancis semalam.

Sebaik pulang dari Brussels petang semalam selepas bertemu rakan sejawatannya dari Belgium, Alexander De Croo, Castex mendapat tahu seorang daripada anak perempuannya disahkan positif Covid-19, lapor Le Figaro.

De Croo akan menjalani saringan Covid-19 esok dan akan kekal dalam kuarantin sehingga keputusan ujiannya diperoleh, lapor media tempatan.

Beberapa anggota kanan kerajaan Belgium juga akan menjalani kuarantin bagi mengelakkan sebarang risiko.

Menteri Perancis yang menyertai delegasi itu termasuk Menteri Pertahanan Florence Parly, Menteri Dalam Negeri Gerald Darmanin, Menteri Kehakiman Eric Dupond-Moretti, dan Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Eropah Clement Beaune.

Castex “membuat ujian PCR (tindak balas rantaian polimerase), dengan keputusan positif,” akhbar Perancis itu memetik kenyataan Pejabat Perdana Menteri.

Jadual ketua kerajaan Perancis itu akan disusun semula untuk tempoh beberapa hari akan datang agar beliau boleh terus bekerja dalam tempoh kuarantin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.