Filipina buka pintu untuk pelancong divaksin

Filipina buka pintu untuk pelancong divaksin

Kerajaan telah “secara prinsipnya meluluskan” permintaan Jabatan Pelancongan untuk membenarkan kemasukan pengembara yang divaksin dari negara dengan kadar jangkitan rendah.

Industri pelancongan terjejas teruk akibat tiada kemasukan pelawat antarabangsa sejak pandemik bermula tahun lalu. (Gambar AP)
MANILA:
Filipina bakal membuka semula pintunya untuk pelancong asing, kata kerajaannya hari ini, dalam pada negara itu membuat persediaan membenarkan kemasukan pelancong yang divaksin, 20 bulan selepas menutup sempadannya akibat Covid-19.

Industri pelancongan di sekitar negara itu, yang terkenal dengan pantai indah dan lokasi menyelam, terjejas teruk akibat tiada kemasukan pelawat antarabangsa serta sekatan perjalanan domestik sejak pandemik bermula.

Pasukan petugas khas Covid-19 kerajaan telah “secara prinsipnya meluluskan” permintaan Jabatan Pelancongan untuk membenarkan kemasukan pengembara yang divaksin dari negara dengan kadar jangkitan rendah, kata Setiausaha Pelancongan Berna Puyat.

Sempadan akan dibuka “tidak lama lagi”, menurutnya dalam kenyataan tanpa memberikan tarikh khusus.

“Membenarkan pelancong dari negara atau wilayah yang majoriti penduduknya telah divaksin serta mempunyai kadar jangkitan rendah, pasti akan membantu usaha pemulihan kami,” katanya.

“Tindakan ini juga akan membantu meningkatkan keyakinan pengguna yang turut menjadi penyumbang besar keluaran dalam negara kasar (KDNK) kami,” tambahnya.

Lebih 40 negara dan wilayah diklasifikasikan sebagai “hijau” iaitu berisiko rendah dan dikecualikan daripada syarat kuarantin. Ini termasuk China, Indonesia dan Zimbabwe.

Pelancongan adalah sumber pendapatan utama ekonomi negara itu dengan merangkumi hampir 13% KDNK pada 2019 apabila menerima lebih 8 juta pelawat, menurut data rasmi.

Bilangan itu merudum kepada 5.4% tahun lalu dengan pengurangan pelancong sehingga 82% kepada hanya 1.48 juta.

Kerajaan telah meredakan peraturan berkaitan virus di negara itu sejak kadar jangkitan harian berada di tahap paling rendah selain kadar vaksinasi kebangsaan yang meningkat.

Kira-kira satu pertiga daripada 110 juta penduduk negara itu telah divaksin lengkap.

Filipina merekodkan lebih 2.8 juta jangkitan sejak pandemik bermula, dengan kira-kira 45,000 kematian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.