
“Saya memahami kebimbangan dan masalah ini. Kerajaan sedang menanganinya. Kita perlu menyesuaikan dasar kita untuk menguruskan kualiti, jumlah dan konsentrasi warga asing di Singapura,” kata Lee dalam Perutusan Hari Kebangsaan 2021, semalam.
“Jika kita dapat menanganinya dengan baik, kita boleh terus mengalu-alukan kehadiran pekerja asing dan imigran baharu, seperti sepatutnya,” katanya.
Menurut Lee, menoleh ke kebelakang adalah suatu yang bertentangan dengan kepentingan asas Singapura.
“Ia akan menghakis kedudukan Singapura sebagai hab global dan serantau. Ia menyebabkan kita kehilangan peluang dan pekerjaan. Malah, ia bertentangan dengan nilai keterbukaan dan kesediaan kita menerima mereka yang berbeza dengan kita.
“Pemegang pas kerja membantu ekonomi kita serta mencipta lebih banyak peluang untuk kita. Apabila kita menggabungkan tenaga kerja kita dengan kemahiran dari seluruh dunia, maka lebih banyak syarikat akan melabur di sini dan ia mencipta lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Singapura.
Selain kebimbangan terhadap kehadiran ramai pemegang pas kerja, beliau turut menyentuh aspek kadar gaji rendah selain isu kaum dan agama, dua perkara yang perlu segera ditangani republik itu.
“Usaha kita membina negara berlangsung sejak sekian lama, tetapi perjalanan ini kita perlu teruskan. Dari semasa ke semasa, krisis baharu akan muncul untuk menguji kekentalan dan perpaduan kita.
“Bagaimanapun, Covid-19 membuktikan kita boleh berdepan wabak itu dengan keazaman dan kesungguhan serta kekal menjadi rakyat yang bersatu padu,” kata Lee.
Lee yakin Singapura mampu terus melangkah maju membina masyarakat yang lebih harmoni, meraih kemakmuran ekonomi lebih hebat dan menjadi negara yang lebih berjaya untuk generasi akan datang.
Mengulas mengenai kemajuan kempen vaksinasi Covid-19 Singapura, Lee berkata republik itu kini memberikan suntikan kepada 1.0% daripada keseluruhan penduduk setiap hari dengan lebih daripada dua pertiga penduduknya sudah pun mendapat dos lengkap.
Setakat 7 Ogos, Singapura merekodkan 65,686 kes Covid-19 dengan 42 kematian.