
Negara itu bergelut dengan penularan terbaru yang lebih teruk akibat varian Delta, dengan lonjakan kes jangkitan serta kematian yang mengakibatkan sistem penjagaan kesihatannya terbelenggu.
Pihak berkuasa akan mencampurkan dos pertama vaksin Sinovac buatan China dengan dos kedua AstraZeneca bagi mencapai kesan ‘booster’ dalam masa enam minggu berbanding 12 minggu.
Ketua Virologi Thailand Yong Poovorawan berkata, ini boleh dicapai dengan menggabungkan vaksin virus tak teraktif iaitu Sinovac dengan vaksin jenis vektor virus seperti AstraZeneca.
“Kita tidak boleh menunggu 12 minggu (untuk kesan ‘booster’) dalam wabak ini dengan penularan yang begitu pantas,” katanya.
“Bagaimanapun, pada masa depan jika ada vaksin yang lebih baik dan dipertingkatkan, kita akan mendapat cara lebih baik untuk menguruskan keadaan.”
Kenyataannya itu sehari selepas Ketua Saintis WHO Soumya Swaminathan menyelar strategi itu sebagai “trend yang berbahaya.”
“Kita masih tidak memiliki data dan bukti kukuh berhubung mencampuradukkan (vaksin),” katanya.
Thailand melaporkan lebih 353,700 kes jangkitan dan 2,847 kematian. Kebanyakannya dikesan sejak gelombang terbaru bermula pada April di satu daerah di ibu negara, Bangkok.
Pekerja penjagaan kesihatan menjadi golongan pertama menerima Sinovac, namun pihak berkuasa pada Ahad berkata, 900 kakitangan perubatan – kebanyakannya disuntik vaksin berkenaan – telah dijangkiti Covid-19.
Mereka juga akan mendapat suntikan ‘booster’ AstraZeneca atau Pfizer-BioNTech, kata pihak berkuasa.
Bangkok yang menjadi ‘hotspot’ virus itu, serta sembilan lagi wilayah yang terkesan teruk kini dikenakan sekatan pergerakan ketat termasuk perintah berkurung waktu malam dan larangan perhimpunan melibatkan lebih daripada lima orang.