
“Inilah pakaian saya untuk pergi bekerja,” kata Dudu Dlamini, yang memakai kasut hiking dan gaun labuh, kepada AFP. “Tidak ada kasut tumit tinggi atau gaun pendek.”
“Ia memerlukan kepakaran dan kemahiran yang tidak anda ketahui,” tambahnya.
“Saya membeli rumah saya sendiri dengan kerja seks,” kata Constance Mathe, yang sudah 16 tahun berkecimpung dalam kerjaya ini.
Seorang ibu kepada dua orang anak, Mathe yang sebelum ini menjadi pembantu rumah hanya memperoleh 1,000 rands (AS$ 72) sebulan.
Dianggarkan 120,000 hingga 180,000 pekerja seks beroperasi di Afrika Selatan, menurut satu organisasi bantuan.
Tetapi undang-undang pelacuran di negara ini adalah dari era apartheid yang menghukum pekerja seks dan pelanggan mereka.
“Kerja seks adalah kerja, bukan jenayah,” kata Dlamini dalam tunjuk perasaan itu.
Di sekelilingnya, kumpulan itu bergerak sambil membawa plakad yang bertulis “Di mana jenayahnya?” dan “Dekriminalisasi kerja seks sekarang”.
Beberapa penunjuk perasaan berarak dengan wajah mereka ditutup, serta diapit kereta polis.
“Polis mengganggu kami dan meminta wang. Dan pekerja seks yang didera pelanggan mereka tidak boleh terus pergi ke balai polis dan membuat laporan, kerana mereka akan didakwa kerana menjadi pekerja seks,” jelas Yonela Sinqu dari Pasukan Petugas Pendidikan dan Advokasi Seks (SWEAT).
Menurut organisasi itu, pelacur sering menjadi mangsa keganasan dan rogol.
SWEAT berkata kira-kira 10 pekerja seks dibunuh setiap tahun, namun kebanyakan kes tidak dilaporkan.