
Bercakap dalam suatu audio siar di Afrika Selatan, Anwar mengakui bukan mudah untuk mengemudi ‘pelbagai sensitiviti’ dalam demokrasi berbilang kaum seperti Malaysia, di mana pelbagai komuniti etnik hidup bersama.
“Saya merayu kepada rakyat Malaysia: dalam tempoh pergolakan dan ketidakpastian ini, dengan kesan negatif tarif, kekal fokus pada ekonomi. Untuk itu, anda mesti mempunyai tadbir urus yang baik, birokrasi yang cekap, dan sudah tentu kejelasan dasar,” kata Anwar.
Dalam wawancara bersama ahli akademik Afrika Selatan, Sizwe Mpofu-Walsh, perdana menteri ditanya bagaimana Afrika Selatan boleh belajar daripada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kukuh dalam tempoh yang panjang, memandangkan kedua-dua negara bekas jajahan dan demokrasi berbilang kaum.
Anwar berkata harus ada dasar-dasar ekonomi seperti strategi semikonduktor nasional Malaysia dan pelan induk perindustrian nasional yang diperkenalkan oleh kerajaannya.
Pelan Malaysia “tidaklah sehebat pelan yang dicipta oleh perunding antarabangsa terkenal” tetapi rakyat Malaysia mampu melaksanakannya dengan baik.
“Kita perlu berusaha keras; kita melakukannya dengan sebaik mungkin… saya fikir masih ada ruang untuk penambahbaikan,” katanya.
Anwar kini berada di Afrika Selatan untuk sidang kemuncak pemimpin G20.
Katanya, beliau dan Presiden Cyril Ramaphosa percaya bahawa lebih banyak yang perlu dilakukan untuk meningkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Afrika Selatan dalam perdagangan, pelaburan, dan kerjasama peringkat universiti.
Mereka komited pada agenda ini dan akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara, katanya.
Anwar juga berkata beliau percaya terdapat ruang bagi Afrika Selatan untuk mengadakan libat urus dengan AS, yang memboikot sidang kemuncak G20 disebabkan perselisihan antara presiden Donald Trump dan Ramaphosa.
Anwar berkata beliau tahu Ramaphosa mahukan “penyelesaian yang baik.”
Malaysia dan AS juga berselisih mengenai isu-isu penting, namun masih berurusan memandangkan AS salah satu rakan dagangan utama Malaysia, kata Anwar.
“Sudah tentu, terdapat pendirian yang kuat di dalam negara, terutama dalam kalangan nasionalis dan parti-parti Islam, yang mempersoalkan kebijaksanaan untuk terus berurusan dengan AS.
“Tetapi saya fikir, sebaliknya, kita harus melakukan apa yang terbaik untuk negara,” tambahnya.