Anwar berlepas ke Kenya untuk siri lawatan terakhir ke Afrika

Anwar berlepas ke Kenya untuk siri lawatan terakhir ke Afrika

Perdana menteri meninggalkan Afrika Selatan selepas lawatan rasmi empat hari termasuk penyertaan Sidang Kemuncak Pemimpin G20.

Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijadual berlepas pulang ke Malaysia dari Nairobi, Kenya esok. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berlepas dari Afrika Selatan untuk lawatan seterusnya ke Nairobi, Kenya selepas Sidang Kemuncak Pemimpin Kumpulan 20 (G20) di Johannesburg.

Pesawat sewa khas Malaysia Airlines yang dinaiki perdana menteri dan rombongan berlepas dari Pangkalan Udara Waterkloof, Pretoria pada 12.30 tengah hari waktu tempatan, (6.30 petang waktu Malaysia) menuju ke destinasi terakhir daripada tiga negara kunjungan beliau di Afrika, lapor Bernama.

Pretoria yang juga pusat pentadbiran Afrika Selatan, terletak satu jam perjalanan dari Johannesburg yang merupakan lokasi Sidang Kemuncak G20 berkenaan.

Selain penyertaan serta pertemuan rasmi dalam sesi berkaitan, Anwar turut memanfaatkan peluang berinteraksi dengan kalangan pemimpin lain yang melibatkan perbincangan menumpukan usaha bagi meningkatkan pelaburan, perdagangan serta hubungan dua hala.

Lawatan kerja rasmi perdana menteri dari 20 hingga 23 Nov ke Afrika Selatan itu bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20 sebagai tetamu Presiden negara itu, Cyril Ramaphosa.

Beliau diundang atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi Asean bagi 2025.

Anwar dijadual berlepas pulang ke Malaysia dari Nairobi pada 24 Nov.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.