Krisis lebih teruk jika hadapi bersendirian, Anwar ingatkan G20

Krisis lebih teruk jika hadapi bersendirian, Anwar ingatkan G20

Ambil pengajaran daripada pengalaman Malaysia mempengerusikan Asean, Anwar kata daya tahan terbit daripada kesiapsiagaan bersama, dan bukannya berasingan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berucap pada sesi pertama Sidang Kemuncak Pemimpin G20 di Afrika Selatan. (Gambar Bernama)
JOHANNESBURG:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyeru kepada kesiapsiagaan kolektif yang lebih mendalam untuk mengharungi krisis global, kerana dasar yang selaras dan peraturan yang tekal serta boleh diramal akan mengurangkan keterukan impak.

Mengambil pengajaran daripada pengalaman Malaysia mempengerusikan Asean pada tahun ini, Anwar berkata daya tahan terbit daripada kesiapsiagaan bersama, dan bukannya berasingan.

“Pengajaran ini penting kerana gangguan seterusnya berkemungkinan lebih sukar dibendung. Kecerdasan buatan (AI) akan menyusun semula pasaran buruh pada kadar yang institusi kita akan bergelut untuk saing.

“Tanpa pelaburan awal dalam peralihan ini, pekerja — terutama golongan muda dan wanita — akan menghadapi perubahan ini secara bersendirian,” katanya dalam ucapan pada sesi pertama Sidang Kemuncak Pemimpin G20 di Johannesburg Expo Centre.

Beliau memberi amaran bahawa ketidaksiapsiagaan menghadapi globalisasi didapati mengakibatkan upah yang mendatar, menghakis kepercayaan awam, dan kebangkitan politik yang didorong oleh rasa tidak puas hati.

“Dengan AI, ketidakstabilan menjadi risiko nyata jika negara-negara memasuki peralihan ini tanpa persediaan. Ini akan menjadi salah satu cabaran utama yang menentukan zaman kita,” katanya.

Anwar berkata negara mesti persiapkan rakyat, terutama golongan muda, untuk mengikuti rentak perkembangan teknologi.

“Peluang untuk latihan dan jaring keselamatan yang boleh dipercayai adalah penting. Firma kecil dan sederhana yang menggaji sebahagian besar pekerja, akan memerlukan sokongan.”

Beliau turut menekankan kepentingan perdagangan terbuka dan boleh diramal, menyatakan bahawa pasaran yang terhubung serta peraturan yang jelas dan tekal mengukuhkan rantaian bekalan dan meningkatkan keyakinan pelabur.

“Oleh itu, kami pantas menyediakan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital Asean, yang akan menetapkan piawaian bersama untuk data, pembayaran, dan perdagangan digital.”

Anwar juga berkata banyak ekonomi membangun berbelanja lebih banyak untuk membayar hutang berbanding pendidikan atau pelaburan, yang membawa kepada kelesuan fiskal.

“Negara perlu mempunyai kapasiti untuk melabur sebelum berlakunya gangguan, bukan selepas. Bank pembangunan pelbagai hala (MDB) mesti bersedia bertindak dengan lebih pantas dan bekerjasama rapat dengan negara untuk menyokong pelaburan yang membina daya tahan.”

Beliau berkata Malaysia sedia bekerjasama dengan semua rakan kongsi untuk menghadapi cabaran bersama ini dan membantu mengekalkan ekonomi global yang terbuka, boleh diramal, yang memberikan rakyat peluang saksama untuk maju.

Afrika Selatan mempengerusikan G20 dan menganjurkan sidang kemuncak di bawah tema Perpaduan, Kesaksamaan, Kelestarian.

Anwar menghadiri sidang kemuncak G20 atas kapasiti pengerusi Asean.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.