Pekerja tahan 7 pengurus, berang Renault mahu jual kilang

Pekerja tahan 7 pengurus, berang Renault mahu jual kilang

Kejadian itu berlaku di Fonderie de Bretagne, sebuah kilang besi di bandar Lorient yang hendak dijual oleh Renault.

Renault berkata, ia cuba mencari pembeli untuk kilang di bandar Lorient yang mempunyai 350 pekerja itu bagi ‘mengekalkan aktiviti di sana dan melindungi pekerjaan’. (Gambar Bloomberg)
RENNES:
Pekerja di sebuah kilang alat ganti kereta Renault di barat laut Perancis menahan tujuh pengurus kira-kira 12 jam pada Selasa dalam usaha untuk menghalang kilang itu dijual, kata syarikat berkenaan dan kesatuan sekerjanya.

Ia adalah langkah terbaru dalam satu siri kejadian “boss-napping”, dengan eksekutif dihalang pulang ke rumah oleh aktivis kesatuan sekerja Perancis sebagai sebahagian taktik rundingan menggunakan kekerasan.

Pada 2014, pekerja di sebuah kilang tayar Goodyear di utara Perancis menahan dua pengarah hampir 300 jam dalam usaha menghalang penutupan kilang itu.

Kejadian terbaru itu berlaku di Fonderie de Bretagne, sebuah kilang besi di bandar Lorient yang hendak dijual oleh Renault.

Pengeluar kereta itu yang “mengecam sekeras-kerasnya” penahanan tujuh pengurus tempatan pada pagi Selasa dan menggesa mereka dilepaskan.

Wakil Kesatuan Sekerja CGT, Mael Le Goff berkata, kumpulan pengurus itu dilepaskan kira-kira 10.30 malam.

“Mereka masih tidak mahu berdialog, jadi tiada gunanya cuba berbincang dengan orang yang tidak mahu berkomunikasi,” kata Le Goff.

Renault berkata, ia cuba mencari pembeli untuk kilang itu, yang mempunyai 350 pekerja, untuk “mengekalkan aktiviti di kilang itu dan melindungi pekerjaan”.

Hubungan pekerja dan majikan di Perancis selalunya tegang, dengan persengketaan antara eksekutif dan kesatuan sekerja sering menjadi tajuk berita.

Pada 2015, kakitangan Air France yang berang mengejar beberapa eksekutif di ibu pejabat syarikat penerbangan itu dekat Paris, dengan seorang daripadanya dibogelkan hingga ke paras pinggang di depan kamera TV, manakala baju dan jaket seorang lagi eksekutif koyak rabak.

Tiga orang kemudiannya dijatuhkan hukuman penjara tertangguh berhubung serangan itu.

Satu kejadian “boss-napping” ketika Nicolas Sarkozy menjadi presiden dari 2007 hingga 2012 menyebabkan pemimpin sayap kanan itu memberi lebih banyak kuasa kepada polis untuk menghentikan amalan terbabit.

Walaupun pengurus di kilang Renault sudah dilepaskan, premis itu masih ditutup dan pekerja berpiket menuntut syarikat terbabit menghentikan penjualan kilang berkenaan.

“Kami masih menunggu perkembangan daripada masalah ini. Ia berlarutan selama setahun, ia memenatkan,” kata Le Goff.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.