Undang wakil rakyat Myanmar dalam buangan ke sidang kemuncak krisis, NGO serantau desak Asean

Undang wakil rakyat Myanmar dalam buangan ke sidang kemuncak krisis, NGO serantau desak Asean

Pemimpin ASEAN tidak akan dapat mencapai sebarang keputusan tanpa kehadiran wakil rakyat Myanmar yang sah.

Bendera negara anggota berkibar di Sekretariat Asean di Jakarta semalam. (Gambar AP)
JAKARTA:
Sekumpulan 45 badan bukan kerajaan Asia Tenggara mendesak pemimpin serantau untuk mengundang anggota parlimen Myanmar yang digulingkan junta tentera, menghadiri sidang kemuncak pada Sabtu bagi membincangkan pergolakan di negara itu.

Sidang kemuncak Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean) akan diadakan di Jakarta, Indonesia. Ketua junta Myanmar, yang menggulingkan kerajaan sivil itu pada 1 Februari lalu, kemungkinan akan hadir, kata diplomat dan pegawai di negara tuan rumah.

“Para pemimpin ASEAN tidak akan dapat mencapai sebarang keputusan pada sidang kemuncak ini untuk menyelesaikan krisis semasa tanpa berbincang dan berunding dengan wakil rakyat Myanmar yang sah,” kata NGO itu dalam surat yang disiarkan di media sosial.

Mereka berkata undangan kepada ketua junta Jeneral Min Aung Hlaing untuk menghadiri sidang kemuncak itu seolah “memberi keabsahan… kepada pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh rejim tentera terhadap warganegara dan rakyatnya”.

Pertemuan itu adalah usaha antarabangsa yang pertama ke arah meredakan krisis di Myanmar, di mana pasukan keselamatan telah membunuh ratusan penunjuk perasaan pro-demokrasi sejak rampasan kuasa Februari lalu. Ia juga ujian bagi Asean, yang secara tradisional tidak mencampuri urusan dalaman negara anggota dan beroperasi secara konsensus.

Anggota Asean terdiri daripada Myanmar, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Tentera Myanmar tidak menunjukkan sebarang tanda ingin berunding dengan anggota kerajaan yang digulingkannya, menuduh sebahagian mereka melakukan pengkhianatan, yang boleh membawa hukuman mati.

Menteri luar China, jiran Myanmar yang menurut ramai penunjuk perasaan menyokong junta, berkata beliau berharap sidang kemuncak itu akan membuka jalan ke arah “permulaan yang baik”.

China bukan anggota Asean, tetapi termasuk dalam kumpulan Asean Plus Three, bersama dengan Jepun dan Korea Selatan. Masih tidak jelas apakah China akan menghadiri sidang pada Sabtu ini di Jakarta.

“China akan menjaga hubungan yang erat dengan Asean, dan terus menangani hal yang berkaitan dengan Myanmar dengan caranya sendiri,” kata Anggota Dewan Negara China Wang Yi, yang juga menteri luar negeri.

Minggu lalu, ahli politik pro-demokrasi Myanmar, termasuk anggota parlimen yang digulingkan, mengumumkan pembentukan Kerajaan Perpaduan Nasional.

Ia termasuk Aung San Suu Kyi, yang berada dalam tahanan sejak rampasan kuasa, pemimpin protes prodemokrasi dan etnik minoriti.

Kumpulan aktivis Myanmar,The Assistance Association for Political Prisoners, berkata 739 orang dibunuh oleh pasukan keselamatan sejak rampasan kuasa dan 3,300 lagi ditahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.