
“Sekatan hari ini menyasarkan kepentingan kewangan tentera dalam usaha mengekang sumber kewangan bagi kempen penindasan mereka terhadap orang awam,” kata Setiausaha Luar Britain, Dominic Raab dalam kenyataan.
Washington menyusul tidak lama kemudian dengan pengumuman sekatan ke atas MEHL dan Myanmar Economic Corporation Limited (MEC).
Tentera Myanmar “menguasai sejumlah segmen ekonomi negara melalui firma ini”, kata Jabatan Perbendarahaan dalam kenyataan.
Syarikat itu menguasai banyak sektor ekonomi utama, termasuk perdagangan, sumber semula jadi, alkohol, rokok dan produk pengguna.
“Sekatan ini secara khusus menyasarkan sumber ekonomi rejim tentera Burma, yang bertanggungjawab menggulingkan kerajaan Burma dipilih secara demokratik dan penindasan berterusan terhadap rakyat Burma.
“Sekatan ini tidak ditujukan kepada rakyat Burma,” kata AS.
Britain berkata, sekatan itu susulan bukti MEHL menyumbang dana untuk menyokong pasukan bersenjata negara itu “dalam kempen mereka ke atas penghapusan etnik Rohingya pada 2017”.
Sekatan baru itu menyusul tindakan ke atas sembilan pegawai junta Myanmar yang dianggap Britain bertanggungjawab secara langsung ke atas pelanggaran hak asasi manusia oleh polis dan tentera ketika rampasan kuasa 1 Feb lalu.