Tak menyesal, kata pemimpin anti-Islam Belanda Wilders

Tak menyesal, kata pemimpin anti-Islam Belanda Wilders

Geert Wilders tidak nampak keperluan menggugurkan retorik anti-penghijrahan dan anti-Islam yang menentukan kerjaya politiknya selama dua dekad.

Parti Kebebasan yang diasaskan Geert Wilders ialah parti kedua terbesar di Parlimen Belanda. (Gambar Reuters)
THE HAGUE:
Pemimpin anti-Islam Belanda, Geert Wilders tidak menyesal dan bersedia “memperhebatkan” kempennya terhadap penghijrahan, walaupun Covid-19 bakal menguasai pilihan raya umum minggu depan.

Beliau yang pernah diberi gelaran “Trump Belanda” kerana rambut perang mudanya dan retorik mengapi-apikan, lebih memfokuskan penjagaan kesihatan dan membantah sekatan pergerakan ketika kempen pilihan rayanya.

Walaupun berharap dapat memperbaiki prestasi pada 2017 yang menjadikan Parti Kebebasan (PVV) diasaskannya, parti kedua terbesar di Parlimen, Wilders mengakui Perdana Menteri, Mark Rutte akan menang.

“Kerajaan sedia ada agak popular sekarang – paling tidak pun perdana menteri – tetapi semasa krisis, rakyat cenderung menyokong kerajaan jangka pendek,” kata Wilders kepada AFP dalam wawancara di Parlimen Belanda.

“Isu lain seperti penghijrahan masih penting. Bagi pengundi saya, ia masih nombor satu. Tetapi, jika anda lihat pada purata rakyat Belanda, isu nombor satu ialah Covid-19.”

Pun begitu, Wilders tidak nampak keperluan menggugurkan retorik anti-penghijrahan dan anti-Islam yang menentukan kerjaya politiknya selama dua dekad.

“Penghijrahan pendatang asing bukan barat ialah masalah sedia ada. Saya percaya kita sebaliknya perlu memperhebatkan lagi, bercakap lebih banyak mengenainya dalam menyedari dasar ini (menentang penghijarahan).”

‘Meninggalkan Islam’

Rutte dan parti lain berikrar mengecualikan Wilders daripada mana-mana gabungan, tindakan yang disifatkan ketua Parti Kebebasan sebagai “sangat tidak demokratik”.

“Semakin ramai orang mengundi parti saya, lebih sukar untuk mengecualikan kami,” kata Wilders.

Beliau juga tidak kesal dengan tindakan lampaunya, termasuk rancangan mengadakan pertandingan kartun Nabi Muhammad pada 2018 yang dibatalkannya selepas menerima ugutan bunuh.

Beliau turut disabitkan secara berkumpulan menghina orang Maghribi dalam demonstrasi 2018, tetapi beliau kemudiannya didapati tidak mendiskriminasi.

Wilders tinggal di rumah selamat dan diberikan perlindungan 24 jam oleh kerajaan Belanda.

“Saya tidak menyesal berjuang untuk kebebasan. Sudah tentu saya mempunyai pendirian, saya diserang, negara saya diserang.

“Saya berjuang untuk setiap umat Islam, saya berharap mereka akan memilih kebebasan dan meninggalkan Islam.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.