
Dalam kenyataan dikeluarkan semalam, ketika badan hak asasi itu sedang melakukan pertemuan organisasi di Geneva, Setiausaha Negara AS Anthony Blinken berkata, Presiden Joe Biden mengarahkan jabatannya untuk “melibatkan semula diri serta-merta dan secara giat dengan Majlis Hak Asasi Manusia PBB”.
Langkah itu menandakan satu lagi “U-turn” oleh Biden berhubung polisi bekas pemegang jawatannya.
Pentadbiran Trump menarik AS keluar daripada majlis yang dianggotai 47 anggota itu pada Jun 2018, dengan rungutan mengenai “berat sebelah yang tidak henti-henti” terhadap Israel dan “hipokrasi” yang membenarkan penyertaan negara yang menyalahgunakan hak.
Ketika itu, AS adalah anggota majlis, tetapi ia tidak dapat memperoleh semula keahlian secara automatik.
Negara itu perlu menunggu pemilihan menjelang akhir tahun untuk tempat yang bakal tersedia pada 2022.
Namun, pengembalian semula Washington secara aktif akan memberi impak yang jelas kepada majlis tersebut, yang merasa kekosongan dengan ketiadaan AS.
Blinken mengakui bahawa dalam waktu terdekat, “AS akan terlibat dengan majlis sebagai pemerhati”, sambil menekankan, “dalam kapasiti itu, AS akan berpeluang untuk bersuara dalam majlis, menyertai rundingan, dan bergabung dengan pihak lain untuk memperkenalkan resolusi”.
Beliau berkata, AS masih mengakui majlis hak asasi itu adalah sebuah “badan yang memiliki kelemahan, memerlukan reformasi terhadap agenda, keanggotaan, dan fokusnya, termasuk fokusnya yang tidak seimbang pada Israel”.
Namun, beliau menekankan, “penarikan diri kami pada Jun 2018 tidak membantu mendorong perubahan yang bermakna, melainkan mewujudkan vakum kepemimpinan AS, yang telah diambil kesempatan oleh negara-negara dengan agenda autoritarian”.
“Untuk mengatasi kelemahan majlis dan memastikan majlis menjalankan tugas menurut mandatnya, AS mesti terlibat dengan menggunakan sepenuhnya kepimpinan diplomatik kami.
“Kami berpendapat bahawa cara terbaik untuk meningkatkan mutu majlis adalah dengan menjalin hubungan dengannya dan anggotanya secara berprinsip.
“Kami yakin apabila AS terlibat secara konstruktif dengan majlis, bersama dengan sekutu dan rakan-rakan kami, perubahan positif akan dapat dicapai,” kata Blinken.