
Pasukan Keselamatan Interim PBB untuk Abyei (Unisfa) berkata, “enam anggota tentera terbunuh dan enam lagi cedera”, termasuk empat parah, apabila sebuah dron menyerang kem mereka di Kadugli, ibu negeri Kordofan Selatan.
Katanya, semua mangsa dari Bangladesh.
Ketua PBB, Antonio Guterres mengecam serangan “mengerikan” itu “mungkin jenayah perang di bawah undang-undang antarabangsa”.
“Serangan ke atas pasukan pengaman di Kordofan Selatan hari ini tidak dapat diterima. Pihak terbabit perlu dipertanggungjawabkan,” katanya dalam kenyataan.
Pemimpin interim Bangladesh, Muhammad Yunus, dalam kenyataan “sangat dukacita” dengan serangan itu yang menyebabkan enam maut dan lapan cedera.
Beliau meminta PBB memastikan anggota negaranya diberikan “sebarang bantuan kecemasan diperlukan”.
“Kerajaan Bangladesh akan bersama keluarga mangsa dalam saat sukar ini,” katanya.
Kementerian Luar Dhaka turut mengecam serangan itu.
Pasukan pengaman PBB ditempatkan di Abyei, wilayah dipertikaikan antara Sudan dan Sudan Selatan.
Kerajaan berpihak kepada tentera dan berpusat di Pelabuhan Sudan mengeluarkan kenyataan mendakwa serangan itu didalangi pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).
Tetapi, RSF dalam kenyataan di Telegram menolak “tuduhan palsu pasukan kami mendalangi serangan itu menggunakan dron”.
Perdana Menteri Sudan, Kamil Idris, mengecam ‘militia pemberontak pengganas memenuhi semua syarat untuk diklasifikasikan kumpulan pengganas’ dan menggesa PBB ‘mengheret pelaku ke muka pengadilan’.
RSF berperang dengan pasukan tentera Sudan sejak April 2023 dan mengerahkan pejuang, dron serta militia sekutu ke wilayah itu.
Minggu lalu, sebuah tadika dan hospital di Kalogi, Kordofan Selatan diserang menyebabkan 114 maut, termasuk 63 kanak-kanak, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Perang di Sudan setakat ini meragut puluhan ribu nyawa dan memaksa jutaan orang kehilangan tempat tinggal.
Ia antara krisis kemanusiaan terburuk di dunia dan usaha menamatkan perang itu gagal setakat ini.