
Dengan ancaman lebih banyak keganasan dilakukan penyokong Presiden Donald Trump susulan rusuhan di bangunan Kapitol Rabu lalu, FBI mengeluarkan amaran untuk hujung minggu depan sekurang-kurangnya sehingga majlis berkenaan, kata sumber itu.
Dalam langkah lain untuk memastikan keselamatan di ibu negara AS itu, Pengawal Kebangsaan diberi kuasa menghantar sehingga 15,000 ke Washington, manakala pelancong dilarang melawat Monumen Washington sehingga 24 Jan.
Ketua Biro Pengawal Kebangsaan, Jeneral Daniel Hokanson, memberitahu pemberita beliau menjangka kira-kira 10,000 anggotanya di Washington menjelang Sabtu bagi membantu meningkatkan keselamatan, logistik dan komunikasi.
Menurutnya, bilangan itu mungkin ditambah kepada 15,000 jika diminta oleh pihak berkuasa tempatan.
Sekurang-kurangnya seorang ahli Kongres meminta Pentagon bertindak lebih tegas lagi.
Senator Chris Murphy berkata, beliau akan menghantar surat kepada setiausaha pertahanan, dan menganggap tidak pasti sama ada Pengawal Kebangsaan mencukupi untuk melindungi ibu negara, malah berpendapat anggota tentera juga diperlukan.
“Saya tidak takut mengangkat sumah di luar,” kata Biden kepada pemberita di Newark, Delaware, merujuk kepada lokasi tradisional untuk majlis angkat sumpah di pekarangan Kapitol.
Namun, katanya adalah penting bahawa mereka “yang terlibat dengan hasutan dan mengancam nyawa orang, merosakkan harta awam, menyebabkan kerosakan teruk” dipertanggungjawabkan.
Jawatankuasa pelantikan Biden berkata semalam, tema majlis pada 20 Jan ini adalah “Amerika Bersatu”.
Trump, yang berusaha berkali-kali mengubah keputusan pilihan raya 3 Nov lalu dengan dakwaan berlaku penipuan, berkata minggu lepas beliau tidak akan menghadiri majlis berkenaan, iaitu keputusan yang turut dipersetujui bakal presiden.
Sementara itu, pihak berkuasa berkaitan berkata, aktiviti pelancongan di Monumen Washington – yang didirikan sebagai penghormatan untuk presiden pertama negara itu – akan dihentikan susulan ancaman keselamatan terhadap majlis berkenaan.
Datuk Bandar Washington, Muriel Bowser menggesa Jabatan Dalam Negeri AS membatalkan permit perhimpunan awam sehingga 24 Jan.
“Tempoh menjelang majlis angkat sumpah kali ini perlu berbeza daripada semua yang dilalui sebelum ini,” katanya kepada pemberita, semalam.