18 setiausaha politik Sabah angkat sumpah

18 setiausaha politik Sabah angkat sumpah

Pemangku Ketua Pemuda PGRS Azrul Ibrahim dilantik setiausaha politik kanan kepada ketua menteri.

Chief Minister Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor
Setiausaha politik mengangkat sumpah jawatan di hadapan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor di Menara Kinabalu. (Gambar Jabatan Ketua Menteri)
PETALING JAYA:
Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Azrul Ibrahim dilantik setiausaha politik kanan kepada ketua menteri.

Beliau mengangkat sumpah di hadapan Ketua Menteri Hajiji Noor dalam satu majlis di Menara Kinabalu, hari ini.

Turut mengangkat sumpah lima setiausaha politik ketua menteri terdiri Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Arthur Sen, bekas Adun Kunak Norazlinah Arif, Effendi Mohamed Sunoh, Mazlan @ Joehari Manan, Lahirul Latigu, Noorazmahirah Noorzain dan Mohd Isquzawan Israq Arsit.

Setiausaha politik lain ialah Bonaventure Boniface (Kementerian Kerja Raya dan Utiliti), Johari @ Joe Suhaimin (Kementerian Kewangan), Carlyle Lajimin (Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan) dan Abd Wahid Abd Razak (Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan).

Justinus Jalang (Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi), M Aziriansyah Ali (Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif) dan Sabili Ahunang (Kementerian Pembangunan Luar Bandar).

Marius Masain (Kementerian Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Raimie Unggi (Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar) dan Herbert Roger (Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan).

Hajiji dalam ucapannya mengarahkan 18 setiausaha politik yang baharu dilantik memastikan maklumat mengenai inisiatif dan dasar kerajaan negeri sampai ke peringkat akar umbi.

“Peranan setiausaha politik amat penting dalam sistem pentadbiran kita. Saya mahu semua setiausaha politik membantu kerajaan dan menteri masing-masing, khususnya dalam menyebarluaskan dasar-dasar kerajaan.

“Yang penting dalam menyampaikan maklumat mengenai Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 yang akan bermula tahun depan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.