
Pashinyan berdepan tekanan dengan ribuan penunjuk perasaan mengadakan protes anti-kerajaan sejak Selasa lalu bagi menuntut beliau meletak jawatan kerana menandatangani perjanjian dengan Azerbaijan dan Rusia untuk mengakhiri konflik di Nagorno-Karabakh selama 6 minggu.
NSS berkata, bekas ketuanya, Artur Vanetsyan bersama bekas ketua Parlimen Parti Republikan, Vahram Baghdasaryan dan sukarelawan perang, Ashot Minasyan sudah ditahan.
“Suspek itu merancang untuk merampas kuasa dengan membunuh perdana menteri dan sudah ada calon berpotensi yang sedang dibincangkan untuk menggantikannya,” kata NSS dalam satu kenyataan.
Awal minggu ini, Pashinyan dilaporkan berkata, beliau tiada pilihan kecuali menandatangani perjanjian damai itu untuk mengelakkan kehilangan lebih banyak wilayahnya.
Katanya, beliau bertanggungjawab terhadap halangan itu, tetapi menolak desakan untuk meletak jawatan.
Gencatan senjata itu menghentikan tindakan ketenteraan di Nagorno-Karabakh dan kawasan sekitarnya, yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Azerbaijan, tetapi dihuni etnik Armenia.
Di bawah perjanjian damai itu, seramai 2,000 pasukan pengaman Rusia akan dikerahkan ke wilayah itu.
Sejak awal 1990-an, etnik Armenia menguasai seluruh Nagorno-Karabakh dan sebahagian besar wilayah Azeri di sekitarnya, tetapi kini ia kehilangan sebahagian besar wilayah itu serta wilayah di sekitarnya.