Martabat BM dulu, baru pengiktirafan UEC boleh dikemuka, kata PM

Martabat BM dulu, baru pengiktirafan UEC boleh dikemuka, kata PM

Anwar Ibrahim berkata sebarang cadangan menjurus kepada satu bahasa atau satu kaum serta meninggalkan perbincangan soal bahasa utama negara dilihat akan membawa masalah.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata martabat bahasa kebangsaan terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebarang tuntutan menjurus sensitiviti agama, bangsa dan kaum, perlu mengambil kira kedudukan bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan, kata Anwar Ibrahim.

Beliau berkata sebagai perdana menteri, prinsip terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan bahasa Melayu akan terus didukung dan dipertahankan.

“Kebelakangan ini ada suara pelbagai tuntutan soal bahasa, ada yang nak tekankan bahasa Inggeris, ada yang nak pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu UEC).

“Saya nak jelaskan begini, ini Malaysia. Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi dan siapa pun dalam percubaan mereka untuk membawa mesej sesuatu bahasa, mesti ingat bahawa bahasa rasmi iaitu bahasa Melayu harus diangkat sebagai bahasa ilmu yang dikuasai oleh semua rakyat Malaysia. Yang itu kita noktahkan, jelaskan,” kata perdana menteri menurut Bernama.

Beliau ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nur al-Hidayah, Kuah, Langkawi.

Anwar yang juga menteri kewangan, berkata martabat bahasa Melayu harus diangkat sesuai dengan kedudukannya dalam Perlembagaan , dan penguasaannya mesti dimantapkan dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata, sekiranya prinsip dan soal itu telah dilakukan, baharulah cadangan bagi memantapkan penguasaan bahasa lain dan pengiktirafan terhadap UEC boleh dikemukakan.

“Kalau ini dah jelas, nak bangkitkan soal keperluan peningkatan penggunaan bahasa Inggeris, saya setuju. Tapi bahasa Melayu, bahasa bidang teknologi baru, bahasa AI (kecerdasan buatan), bahasa untuk bahasa ilmu, itu mesti dimantapkan dan penguasaan bahasa itu harus baik dalam kalangan semua rakyat.

“Semua aliran…saya tak kira Cina, Tamil, Inggeris mesti menguasai bahasa Melayu dan ini juga syarat yang kita kenakan untuk sekolah-sekolah antarabangsa…dia boleh menggunakan perantaraan bahasa Inggeris tapi mesti lulus dan menguasai bahasa Melayu,” katanya.

Anwar berkata, sebarang cadangan menjurus kepada satu bahasa atau satu kaum serta meninggalkan perbincangan soal bahasa utama negara, dilihat akan membawa kepada masalah.

Justeru, perdana menteri mengingatkan mana-mana pihak yang mengemukakan cadangan dalam perkara berkaitan bahasa, haruslah mematuhi prinsip Perlembagaan dengan keutamaan ialah penguasaan bahasa Melayu.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi DAP Nga Kor Ming dilapor sebagai berkata parti itu akan berjumpa dengan perdana menteri berhubung pengiktirafan UEC.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.